Saturday, August 7, 2021

Ahli MT kalah pilihan raya penentu masa depan UMNO? UMNO bakal lingkup

agendadaily.com
7/8/2021


Kuasa Presiden dalam menandatangani watikah calon juga menyebabkan ramai ahli MT yang tidak berani melawannya dan ia digunakan sebagai alat untuk menggugut mereka supaya menyokong serta patuh kepada arahannya.

Tidak dapat dinafikan lagi sekarang berlaku pertembungan secara terbuka antara Majlis Tertinggi (MT) UMNO dengan Ahli-ahli Parlimen (MP) UMNO yang tidak sependapat dengan keputusan berhubung hala tuju diputuskan badan tertinggi parti itu.

Minggu lepas MT UMNO membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia sekaligus mencetuskan satu lagi kemelut politik.

Bagaimanapun, keputusan tersebut disanggah oleh sekumpulan MP UMNO yang tidak bersetuju keputusan yang diumum oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan disokong pula oleh majoriti Ahli MT yang kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama keputusan kontroversi yang MT UMNO pernah buat, ia pernah berlaku semasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dimana beberapa pemimpin utama parti itu dipecat, antara yang menjadi mangsa adalah Muhyiddin yang dipecat sebagai Timbalan Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal yang dipecat sebagai Naib Presiden dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 2016.

UMNO ketika itu berdepan perpecahan besar, Muhyiddin yang dipecat waktu itu kemudiaan bersama-sama Mukhriz menubuhkan parti Bersatu yang kini peneraju utama kerajaan di Putrajaya.

Keputusan pemecatan tersebut dibuat oleh ahli-ahli MT yang menyokong Najib waktu itu dan ia dibuat secara sebulat suara, ia akhirnya juga menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional buat kali pertama dalam sejarah hilang kuasa apabila tersungkur dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Kini episod sama berulang, Zahid juga menggunakan MT UMNO sebagai alat demi agenda peribadinya bersama Najib dan beberapa individu lain yang terpalit dalam kes mahkamah untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Seperti insiden pada 2016, keputusan MT UMNO sekali lagi digunakan untuk menghalalkan hala tuju parti mengikut kehendak Presiden.

Zahid menggunakan beberapa ahli MT yang lantang dan setia kepada kehendak peribadinya, individu seperti Naib Presiden Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Puad Zarkashi, Datuk Razlan Rafii dan beberapa lagi ahli MT lain menjadi perisai terhadap sebarang keputusan parti yang dimuktamadkan.

Jadi apakah persamaan mereka ini yang sentiasa menyokong setiap keputusan Zahid? Persamaannya adalah mereka semua ini kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Nampaknya masa depan dan hala tuju parti kini sedang ditentukan oleh beberapa Ahli MT yang tewas semasa pilihan raya lalu dan besar kemungkinan ia akan melingkupkan parti tersebut.

Seorang pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu Agenda Daily, kebanyakkan Ahli-ahli MT yang senada dengan Zahid sebenarnya mempunyai cita-cita untuk bertanding semula dalam pilihan raya dan mereka terpaksa mengikut telunjuk Presiden bagi berpeluang untuk menjadi calon.

“Pertama sekali ahli-ahli MT ini mereka kalah dalam pilihan raya dan ramai daripada mereka duduk dalam Majlis Tertinggi kalah pilihan raya.

“Kepada mereka kalau cepat diadakan pilihan raya apabila jatuh kerajaan, mereka nak bertanding baliklah,” katanya.

Jelas Nazri lagi, kuasa Presiden dalam menandatangani watikah calon juga menyebabkan ramai ahli MT yang tidak berani melawannya dan ia digunakan sebagai alat untuk menggugut mereka supaya menyokong serta patuh kepada arahannya.

“Siapa tak sokong dia, dia masih presiden dia kata. Dia dia sign (tandatangan) watikah. Ini gunakan sebagai menggugut Ahli-ahli MT dan juga Ahli-ahli Parlimen.

“Kalau dicadang balik nama mereka (MT) dia tidak akan tandatangan jadi ini menyebabkan ada tekanan di kalangan ahli-ahli MT yang mahu cepat pilihan raya diadakan dan nak bertanding. Sebab itu dia kena sokong dan yang jadi Ahli Parlimen ni pun dia kena sokong Zahid sebab kalau tak sokong nanti dia tak mahu tandatangan watikah,” katanya lagi.

Jelas Nazri, keputusan yang diumumkan oleh Zahid selepas mesyuarat MT baru-baru ini sama sekali melanggari ketetapan yang dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) yang lalu.

“Apa keputusan parti? Keputusan parti ialah PAU, apa keputusan PAU? Tak boleh putus hubungan dengan kerajaan PN sehingga PRU15,” ujarnya lagi.

Kebimbangan dikalangan pemimpin UMNO adalah masa depan parti sedang diatur oleh beberapa Ahli-ahli MT yang tidak mempunyai kredibiliti dan ia bakal menghancurkan parti.

Jadi, adakah akar umbi UMNO mahu melihat parti dihancurkan oleh segelintir pemimpin yang ditolak rakyat semasa PRU lalu untuk menentukan masa depan parti? Lebih baik fikir dua kali sebelum terjerumus ke lembah yang lebih menghinakan, hilang kuasa kerana kepentingan peribadi oleh beberapa individu yang mahu memusnahkan parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-