Monday, August 16, 2021

LANGSUNG l Muhyiddin selesai menghadap Agong

malaysiakini.com
Diterbitkan 16 Aug 2021, 11:20 am
Dikemaskini 1:31 pm

LANGSUNG l Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masuk ke pejabatnya pagi ini dengan ada yang menganggap ia sebagai tindakan terakhirnya sebelum meletakkan jawatan hari ini

Dia sedang mempengerusikan mesyuarat kabinet khas di pejabatnya di Putrajaya dan dijadualkan akan ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Peletakan jawatannya dijangka berlaku tidak lama kemudian. Ikuti Malaysiakini untuk kemas kini secara langsung.

1.20 tengah hari: Anggota kabinet telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu diumumkan menteri Umno Khairy Jamaluddin di media sosial sebentar tadi.

“Terima kasih atas peluang untuk, sekali lagi, berkhidmat untuk negara.

Semoga Allah merahmati Malaysia,” tulis Khairy.

Bagaimanapun, setakat ini, masih belum ada sebarang makluman daripada Istana Negara atau ketua setiausaha kerajaan.

1 tengah hari: Muhyiddin tinggalkan istana selepas menghadap Agong kira-kira 40 minit.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa melalui catatan di Facebooknya memohon maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangannya sepanjang berkhidmat.

"Kita kekal tenang dan berlapang dada. Semua keputusan secara bersama. Yang penting kita sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang dan perlembagaan negara. Asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat. Kepada rakyat kita berkhidmat hingga ke garis penamat.

"Saya insan biasa yang tentunya tidak sunyi dari kesilapan. Oleh itu saya memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan saya selama berkhidmat," katanya yang turut hadir dalam mesyuarat kabinet, hari ini.

'Terima kasih atas khidmat anda' - Wan Fayhsal

12.35 tengah hari: Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memuat-naik satu lagi mesej perpisahan di Facebook.

"Kami berdiri teguh dan bangga dengan kamu Tan Sri Presiden. Terima kasih atas jasa dan kepimpinan anda. Kami akan kembali dengan lebih kuat, Insya-Allah," kata Wan Fayhsal, yang juga timbalan menteri belia dan sukan dalam pentadbiran Muhyiddin.

'Mesyuarat Kabinet terakhir PN selesai'

12:25 tengah hari: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam catatannya di Facebook menyebut mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional selesai pagi ini.

“Alhamdulillah. Selesai mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional pagi ini. YAB Perdana Menteri akan bergerak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

“ Tawakal kepada Allah selepas bertekad seusai mesyuarat,” tulisnya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-