malaysiakini.com
Diterbitkan 16 Aug 2021, 11:20 amDikemaskini 12:34 pm
Dia sedang mempengerusikan mesyuarat kabinet khas di pejabatnya di Putrajaya dan dijadualkan akan ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Peletakan jawatannya dijangka berlaku tidak lama kemudian. Ikuti Malaysiakini untuk kemas kini secara langsung.
PM tiba di Istana Negara
12.23 tengahari: Kenderaan yang membawa Muhyiddin tiba di Istana Negara. Perdana Menteri difahamkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas kabinet yang berlangsung kira-kira tiga jam.
Muhyiddin dalam perjalanan ke Istana
12:00 tengahari: Muhyiddin meninggalkan Pejabat Perdana Menteri di bangunan Putra Perdana di Putrajaya setelah mempengerusikan mesyuarat khas kabinet. Dia dipercayai menuju ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Dia sempat membuka tingkap kenderaannya dan melambaikan tangan kepada pengamal media yang berada di luar pintu protokol tetapi tidak memberi sebarang ulasan.
Selain Muhyiddin, turut mula meninggalkan bangunan berkenaan adalah menteri-menteri kabinet.
AG, Pengerusi SPR keluar Istana
11.54 pagi: Idrus dan Abdul Ghani meninggalkan istana setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Idrus selesai menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas hampir sejam memasuki Istana Negara.
Kenderaan rasmi yang membawa Abdul Ghani juga sudah meninggalkan Istana Negara melalui pintu satu.
Kedua-dua mereka tidak memberhenti kenderaan atau memberi sebarang ulasan mengenai pertemuan yang berlangsung.
Istana hidang makanan dan minuman untuk media
11.41 pagi: Wartawan dan jurugambar dibekalkan dengan makanan dan minuman di luar pintu pagar Istana Negara.
Mereka telah berkumpul sejak awal pagi ini untuk memberi maklumat terkini mengenai perkembangan politik negara.
11:26 pagi: Kenderaan rasmi membawa Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Lazim dilihat tiba di pekarangan Istana Negara. Dia yang diiringi sepasukan polis tiba dan masuk melalui Pintu 2 Istana Negara.
IGP tiba di Istana
11.17 pagi: Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani pula tiba di Istana Negara.
Dia juga pada pagi tadi menghadiri mesyuarat kabinet khas dengan Muhyiddin di Putrajaya. Bagaimanapun, Idrus yang tiba pada 10.47 pagi tadi, belum kelihatan keluar dari Istana Negara.
AG tiba di Istana Negara
10.47 pagi: Peguam Negara Idris Harun dilihat memasuki pintu utama Istana Negara. Dia dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Idris sebelum itu menghadiri mesyuarat di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pagi tadi.
Malaysiakini juga difahamkan, terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh telahpun tiba di Istana Negara kira-kira jam jam 10 pagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM tiba di Istana Negara
9.55 pagi: Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilihat memasuki Istana Negara.
Media berkampung di luar Istana
9 pagi: Sekitar 30 petugas media dari pelbagai agensi telah mula berkumpul di luar Istana Negara sejak pukul 8 pagi, walaupun majlis menghadap Muhyiddin dengan Yang di-Pertuan Agong dijadualkan akan hanya berlangsung pada sebelah tengahari.
Anggota polis turut meningkatkan kawalan di pintu-pintu masuk Istana Negara selain meletakkan kon penghadang bagi memastikan petugas media yang membuat liputan menjaga penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard.
Muhyiddin tiba di JPM
8.07 pagi: Berita Harian melaporkan Muhyiddin tiba di pejabatnya diikuti tidak lama kemudian oleh Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Mereka akan menghadiri mesyuarat kabinet khas yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri sekitar jam 10 pagi.
Muhyiddin akan mempengerusikan mesyuarat tersebut sebelum berangkat ke Istana Negara.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.