Hariz Mohd
Diterbitkan 9 Aug 2021, 10:07 am
Dikemaskini 10:12 am
Antaranya adalah mencapai persetujuan dengan pemimpin Umno yang kini berdepan pendakwaan jenayah di mahkamah.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, Muhyiddin juga kini memiliki lebih banyak perkara untuk ditawarkan kepada ahli parlimen agar menyokongnya, susulan peletakan jawatan sejumlah pemimpin Umno untuk pelbagai jawatan, termasuk dua menteri kabinet.
"Apa yang perlu diingat, tak kira sejauh mana mereka (PN dan Umno) bergaduh, persetujuan masih tidak mustahil.
"Muhyiddin masih boleh menukar pendirian dan kata dia akan campur tangan dalam kes mahkamah mereka, dan buat persetujuan untuk membolehkannya kekal setahun lagi.
"Dengan berbuat demikian, ahli parlimen Umno (yang berdepan dakwaan) masih boleh bertanding dalam PRU akan datang. Jika tidak, kalau mereka didapati bersalah di mahkamah, ahli parlimen ini bukan saja kehilangan kerusi tetapi peluang untuk bertanding lagi.
"Jadi mereka akan hilang satu setengah penggal. Inilah yang mereka lawan. Mereka lawan untuk masa depan sebagai wakil rakyat," katanya kepada Malaysiakini.
Muhyiddin kini berdepan laluan sukar untuk mengekalkan pentadbirannya susulan keputusan Umno untuk menarik balik sokongan terhadap PN.
Terdahulu, dia menegaskan masih memiliki sokongan majoriti dan berkata akan membuktikannya menerusi undi percaya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.
Dia juga mendakwa ada pihak yang mendesaknya untuk campur tangan dalam urusan mahkamah bagi membebaskan beberapa individu yang kini sedang dibicarakan.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama secara khusus, dia dipercayai merujuk kepada sejumlah pemimpin Umno yang didakwa dengan kes rasuah.
Ditanya jika Muhyiddin mampu menarik cukup sokongan menjelang sidang bulan depan, Chin berkata dia tidak dapat menyatakannya secara pasti.
"Anda perlu andakan yang jika anda perdana menteri, ia seperti anda ada kad kredit tanpa had. Anda boleh beli apa saja," katanya lagi.
Bertentangan dengan tanggapan umum, katanya lagi, peletakan jawatan sejumlah pemimpin Umno mutakhir ini bukanlah tanda kelemahan pada perdana menteri, tetapi sebenarnya memberi lebih kuasa kepadanya.
Chin berkata, Muhyiddin kini memiliki lebih banyak yang boleh ditawarkan, yang boleh digunakan untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen lain.
"Itu juga sebab dia melantik bekas menteri besar Perak (Ahmad Faizal Azumu) sebagai penasihat khas bertaraf menteri.
"Dia menghantar isyarat yang jika anda setia kepadanya, anda boleh jadi menteri, walaupun tidak secara langsung.
"Dan dengan peletakan jawatan dua menteri Umno, dia boleh tawarkan jawatan itu kepada orang lain," katanya lagi.
Chin berkata lagi, akan timbul satu lagi isu jika Muhyiddin tewas dalam undi percaya nanti.
Dia membangkitkan pembangkang yang masih tidak mencapai persetujuan dalam soal calon perdana menteri untuk menggantikan Muhyiddin.
"Apabila Muhyiddin tewas, speaker akan minta calon pengganti, sesiapa saja di Dewan Rakyat boleh mencalonkannya.
"Malah Dr Mahathir Mohamad, atau anaknya boleh mencalonkannya, atau ada yang kata Tengku Razaleigh Hamzah. Ia terbuka kepada sesiapa saja," katanya lagi.
[Baca berita asal]
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.