Thursday, August 12, 2021

Sidang DUN Johor bermula hari ini jadi perhatian kedudukan MB

agendadaily.com
12/8/2021


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir bersama Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor – negeri pertama di bawah pentadbiran dikuasai UMNO mengadakan sidang DUN dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) – menjadi perhatian ketika pergolakan politik peringkat Pusat diganggu-gugat oleh kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Persidangan keempat itu juga bakal menjadi perhatian kepada titah ucapan perasmian oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, setelah semalam baginda menzahirkan kekecewaan terhadap pemimpin politik yang cuba menggulingkan kerajaan sedia ada sedangkan ketika ini rakyat berdepan masalah Covid-19 dan kesannya.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang menggangu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah baginda semalam.

Malah, isu keabsahan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad juga dikatakan menjadi tumpuan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, ia susulan ketegangan politik antara kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan UMNO di peringkat Pusat.

Sidang DUN Johor hari ini akan ditangguh dan bersambung Ahad selepas titah ucapan baginda.

Persidangan yang dijadual berakhir 22 Ogos dilihat sebagai platform penting bagi kerajaan negeri memperjelaskan mengenai pelan tindakan untuk pemulihan ekonomi negeri Johor selain bantuan yang diberikan kepada rakyat Johor yang terjejas berikutan Covid-19.

Johor adalah negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN – gabungan UMNO, Bersatu dan PAS) memiliki majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

UMNO Johor menerajui kepimpinan negeri dengan 14 kerusi; diikuti Bersatu 12 kerusi termasuk DUN Gambir yang disandang Muhyiddin; MIC (dua); dan PAS (satu) manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi; Amanah (enam); dan PKR (tujuh).

Kali terakhir sidang DUN Johor diadakan pada 26 November hingga 6 Disember 2020, yang menyaksikan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad membentangkan Belanjawan Johor 2021.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-