selangorkini.com
August 6, 2021 5:57 pm
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang juga ketua Wanita Umno, meletak jawatan sebagai menteri pengajian tinggi berkuat kuasa pada 6 Ogos 2021.
Foto BERNAMA
SHAH ALAM, 6 OGOS: Seorang lagi menteri Umno meletak jawatan susulan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang juga ahli parlimen Parit Sulong, dalam kenyataan hari ini berkata peletakan jawatannya sebagai menteri pengajian tinggi berkuat kuasa serta-merta.
“Saya sebagai ketua Wanita Umno akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai menteri pengajian tinggi, ahli jemaah menteri kerajaan persekutuan berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Pada 3 Ogos, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli sejurus selepas partinya mengumumkan keputusan tersebut dengan alasan kerajaan ingkar titah Yang di-Pertuan Agong.
Pada 29 Julai, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa “amat dukacita” terhadap kerajaan PN yang membatalkan Ordinan-ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda dan tidak mematuh titah agar ia dibentang dan diungkai dalam perbahasan Parlimen.
Sementara itu, dua ahli parlimen Umno yang didakwa masih menyokong perdana menteri menafikan kenyataan naib presiden parti dan juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.
Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Azeez Abdul Rahim dalam dua sidang media berasingan selepas itu dilaporkan sedia mematuhi arahan Umno yang mendesak semua wakil rakyatnya meninggalkan kerajaan.
Dua tokoh Umno tersebut sebelum ini dilaporkan bersama presidennya Datuk Seri Zahid Hamidi tetapi Ismail yang sepentas dengan 21 wakil rakyat parti itu, MCA dan MIC menyatakan kedua-duanya masih bersama PN.
Sehari selepas keputusan Umno, seorang lagi naib presidennya Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Boustead Holding Berhad berkuat kuasa semalam.
Ahli MT Razlan Rafii pula meletak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 5 Ogos.
Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain juga meletak jawatan sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif Boustead Plantation Bhd berkuat kuasa semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini tiba-tiba menetapkan keputusan Umno menangguhkan pemilihan MT, bahagian dan cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah.
“Berdasarkan minit mesyuarat MT Umno pada 7 Julai 2021 untuk menangguhkan pemilihan MT, bahagian dan cawangan Umno selama 18 bulan, ROS berpandangan bahawa keputusan tersebut adalah tidak sah,” katanya.
ROS menegaskan ia mesti memastikan aktiviti dan pentadbiran semua pertubuhan berjalan sejajar dengan perlembagaan masing-masing yang tidak bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 atau undang-undang negara.
Susulan itu tersebar di media sosial imej surat ROS kepada Umno bertarikh 19 Julai yang menunjukkan ia telah meluluskan penangguhan pemilihan sejajar dengan Fasal 10.16 perlembagaan parti berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.