Sunday, August 15, 2021

Zahid makin risau MP DAP sokong Muhyiddin, mahu halang undi percaya di Parlimen

agendadaily.com
15/8/2021

Najib Razak dan Zahid Hamidi mengetuai kerajaan kleptokrasi yang ditumbangkan Pakatan Harapan pada PRU-14.

Serangan habis-habisan kem Zahid Hamidi terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan pelbagai medium sekarang ini, dilakukan setelah mengetahui DAP mungkin menerima cadangan kerjasama bipartisan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Agenda Daily difahamkan, susulan kenyataan beberapa pemimpin senior DAP yang menyambut baik cadangan PM itu, menyebabkan sesetengah Ahli Parlimen (MP) DAP kini dilihat bersedia melakukan perubahan.

Sumber yang rapat dengan pemimpin dalaman parti memberitahu Agenda Daily perubahan pendapat di kalangan MP DAP berlaku kerana mereka sendiri menolak kemunculan semula golongan kleptokrat, selain melihat keperluan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sekarang ini.

Kleptokrat adalah istilah yang merujuk kepada pemimpin yang menyalahgunakan kekuasaan politik untuk memenuhi kekayaan peribadi dan mengabaikan kebajikan rakyat. Ia mula popular setelah digunakan terhadap kepimpinan UMNO diketuai Najib Razak ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, oleh Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Sehingga akhirnya pemimpin kleptokrasi itu disingkir dari pemerintahan negara, tetapi kini dilihat cuba bangkit semula walaupun sedang berdepan puluhan tuduhan jenayah di mahkamah.

“Sebenarnya ada tiga isu utama yang dilihat oleh beberapa MP DAP. Pertama melibatkan kumpulan kleptokrat, kedua masalah rakyat dan ketiga Kluster Mahkamah. Mereka berpendapat sebagaimana dikatakan MP Damansara (Tony Pua) golongan kleptokrat tidak boleh dibenar kembali mentadbir negara.

“Dan isu berkaitan rakyat yang kini sedang menderita akibat Covid-19. Mereka juga tidak mahu ada campur tangan terhadap kes mahkamah dihadapi Zahid, Najib dan beberapa penyokongnya. Sebab itu sesetengah mereka (MP DAP) mungkin… saya katakan mungkin… bersedia menghulur tangan (cadangan kerjasama oleh Muhyiddin),” katanya.

Inilah yang menyebabkan Zahid dan kumpulannya habis-habisan menyerang Kerajaan PN dan Muhyiddin, tanpa mahu memberi peluang diadakan undi percaya di Parlimen pada sidang yang akan bermula 6 September ini, katanya lagi.

“Zahid dan kumpulannya mula menyedari bahawa sesetengah MP DAP akan memberi sokongan kepada Muhyiddin jika undi percaya dibuat di Parlimen.

“Jadi sekarang ini mereka (Zahid dan kumpulannya) menggesa PM meletak jawatan segera. Mereka menggunakan macam-macam cara dan medium termasuk media massa rakan mereka untuk memberi tekanan dengan mendakwa Muhyiddin tidak perlu menunggu sehingga sidang Parlimen akan datang.

“Sebab mereka takut MP DAP akan sokong (Muhyiddin).. dan ada satu medium lagi digunakan. Tak ramai rakyat tahu medium ini, tapi hanya yang bijak dapat menciumnya,” katanya sambil menjelaskan DAP memberi kebebasan kepada ahlinya membuat pilihan – kebebasan untuk bersuara.

Sebab itu katanya, jika dilihat sekarang ini Zahid dan kumpulannya sentiasa mengubah daripada satu episod ke satu episod lain. Zahid dan kem, termasuk Najib sentiasa melakukan desakan dan serangan.

Bermula dengan menarik sokongan terhadap Kerajaan PN, mendakwa PM hilang majoriti, hinggalah mempertikaikan keabsahan Muhyiddin.

Tetapi apabila Muhyiddin menyatakan kesediaan berdepan usul undi percaya di Parlimen, Zahid dan kumpulannya enggan pula menerima. Yang terakhir mereka kini mengubah kepada episod mendesak Muhyiddin meletak jawatan dengan segera. Desakan ini dibuat kerana Zahid dan kemnya tidak mahu undi percaya terhadap PM diadakan di Parlimen, kerana bimbang Muhyiddin akan mendapat sokongan MP DAP.

“Hilang majoriti, letak jawatan… itulah yang diangkat setiap hari dalam kehidupan mereka sekarang. Sebaliknya, Ahli Parlimen DAP melihat rakyat perlu diberi perhatian… mesti dibantu, bukan bermain politik semata-mata, terutama dalam keadaan sekarang terpaksa berdepan Covid-19,” kata sumber itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-