12/8/2021
Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah condong kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan blok pembangkang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa awal-awal lagi sudah melanggar sumpahnya selepas menghantar surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Istana Negara dan membuat pakatan sulit seperti yang didedahkan dalam klip audio tular.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Zahid tidak sepatutnya menyuruh Ahli Parlimen (MP) yang tidak sehaluan dengannya supaya insaf walhal beliau sendiri sudah banyak kali membuat penipuan secara terang-terangan.
“Majoriti MP daripada kami mengikut keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), sokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15… saya ingat Zahid yang kena insaf sebab dia melanggar keputusan PAU.
“Dia bersumpah kata tidak sokong Anwar dan DAP, Presiden berbohong… pertama sekali dia tulis surat sokong Anwar hantar kepada Yang di-Pertuan Agong kata kami sokong keputusan itu, dia berbohong.
“Kemudiaan dia mengakui klip audio dan surat yang dihantar tulen, dia mengakui dan itu menunjukkan dia berbohong… sepatutnya dia kena yang kena insaf,” kata Shahidan kepada Agenda Daily.
Beliau turut mempersoalkan kredibiliti Zahid susulan pendedahan akuan sumpahnya yang didedahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang disifatkan sukar dipercayai kerana cakap berbelit-belit.
“Saya tidak percaya cakap Presiden, suka cakap belit-belit dan sering berubah-ubah,” katanya lagi.
Sementara itu, Shahidan turut menggesa Zahid supaya menjelaskan hala tuju UMNO selepas menarik sokongan daripada kerajaan PN dan tidak perlu berahsia kononnya itu strategi kerana hakikatnya hanya tinggal blok pembangkang sahaja yang tinggal jika UMNO mahu menjalinkan kerjasama.
“Presiden kena beritahu UMNO akan pergi ke mana, kerana No Anwar ia bermakna PKR tidak akan menyokong dia dan yang tinggal DAP.
“Strategi apa, budak sekolah rendah pun boleh tahu kerana yang tinggal diluar sana hanya ada Pakatan Harapan (PH), jadi adakah UMNO akan bekerjasama dengan PH?” soal beliau lagi.
Beliau menasihati Zahid supaya tidak mudah bersumpah memandangkan sumpahnya itu sejak awal-awal lagi sudah dilanggar.
“Saya nasihatkan Presiden berhati-hati untuk bersumpah sebab dia awal-awal lagi sudah langgar sumpahnya… tidak sokong Anwar tapi yang sebenarnya perbuatan dia selama ini yang sokong Anwar,” katanya lagi.
Tegasnya, UMNO menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang dan mahu menumpukan fokus untuk membantu rakyat dan kerajaan dalam melawan wabak Covid-19 yang mengancam negara ketika ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.