Saturday, September 25, 2021

MOU: Benarkah Ismail akan muncul wira tak terkalahkan PRU15, soal Lim

malaysiakini.com

Diterbitkan: Sep 25, 2021 10:15 AM

Susulan perjanjian persefahaman (MOU) Pakatan Harapan dengan kerajaan, terdapat perbezaan pandangan dengan sesetengah pengkritik percaya kedudukan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dapat muncul lebih kuat.

Perkara ini diakui veteran DAP Lim Kit Siang, namun katanya rakyat Malaysia perlu mengetepikan perbezaan mereka dalam menghadapi ancaman Covid-19.

Lim berkata dia yakin membantu Ismail Sabri untuk mengalahkan wabak itu tidak semestinya membuatkan perdana menteri tidak dapat dikalahkan.

"Teori bahawa Ismail Sabri tidak akan terkalahkan pada pilihan raya umum ke-15 jika kita membantunya memenangkan perang melawan pandemik Covid-19 mungkin tidak betul sama sekali.

"(Bekas perdana menteri UK) Winston Churchill seorang wira perang Great Britain ketika dia mengalahkan Hitler dari Jerman pada Mei 1945.

"Tetapi pada pilihan raya umum Julai 1945 di UK, Parti Konservatif pimpinannya dihancurkan oleh Parti Buruh, yang memperoleh kemenangan besar dengan 393 kerusi berbanding 197 kerusi Konservatif.

"Siapa yang akan menang PRU15 akan bergantung kepada siapa yang mempunyai visi untuk masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Lim yang juga ahli parlimen Iskandar Puteri menegaskan pembangkang tidak mengkhianati perjuangannya dengan menandatangani MOU tersebut.

“Inilah sebabnya mengapa salah satu syarat MOU keyakinan-pembekalan-reformasi (CSR) adalah pendedahan penuhnya, sesuai dengan prinsip-prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban kerana kami tidak memiliki klausa rahsia atau pemahaman selain daripada MOU CSR itu.

"Kami berada dalam politik kerana kami mempunyai visi untuk Malaysia menjadi negara yang lebih baik - sebuah negara hebat bertaraf dunia.

"Tetapi ini memerlukan perjuangan panjang bertahun-tahun lamanya dan bahkan beberapa dekad kerana ia tidak dapat dicapai dalam sekelip mata,” katanya.

Menurut Lim, beberapa isi kandungan dalam perjanjian MOU itu termasuk hal-hal yang diperjuangkannya selama lebih dari 50 tahun, termasuk undang-undang antilompat parti dan peruntukan yang sama untuk semua anggota parlimen.

"Sekarang, hal ini akan menjadi kenyataan.

“Wajarkah kami melepaskan peluang untuk merealisasikan beberapa idea dan cita-cita kami kerana keadaan politik yang unik, terutama pada saat negara menghadapi ancaman wujudiahnya - pandemik Covid-19 - dan memerlukan kesatuan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, wilayah atau politik untuk melawan musuh bersama ini," soalnya.

MOU itu akan menyaksikan kerajaan melaksanakan beberapa pembaharuan yang telah lama dituntut oleh pembangkang.

Sebagai pertukaran, PH bersetuju untuk tidak menghalang agenda perundangan Ismail Sabri yang dapat mempengaruhi kelangsungan pemerintahannya, seperti Belanjawan 2022.

Ini dengan syarat dia berunding dengan PH sebelum belanjawan dibentangkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-