Monday, March 7, 2022

Azmin yakin bangsa Johor tak mahu perompak, perasuah pimpin mereka

agendaily.com
7/3/2022

Ketua Penerangan Perikatan Nasional Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan penduduk di DUN Tangkak, Johor , malam tadi, 6 Mac 2022.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin bangsa Johor sebagai bangsa yang bijaksana tidak akan menerima perompak dan perasuah untuk menjadi pemimpin mereka.

Beliau juga yakin bangsa Johor sudah bersedia untuk bangkit menunjukkan kepada negeri lain bahawa mereka menolak Barisan Nasional (BN) dan memilih untuk bersama dengan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

“Saya tegaskan, bahawa Bangsa Johor adalah bangsa yang bijaksana. Bangsa Johor tidak mungkin akan menerima perompak dan perasuah untuk memimpin negeri mereka.

“Justeru, saya menyeru Bangsa Johor untuk tolak BN kerana tanpa BN, Johor akan lebih sejahtera.

“Sudah tiba masanya, orang Chaah, orang Labis dan Bangsa Johor akan bangkit untuk bersama Perikatan Nasional serta membentuk Kerajaan baharu di Negeri Johor,” katanya dalam pertemuan dengan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N06 Bekok, yang turut dihadiri calon PN, Tan Lek Khang.

Pada pertemuan dengan penduduk di DUN 09 Gambir pula yang turut dihadiri calon PN, Solihan Badri, Azmin menegaskan keperluan bangsa Johor membuat pilihan yang tepat pada 12 Mac ini.

“Jangan kita benarkan gerombolan yang menjadi toksik kepada perpaduan dan kesatuan rakyat memimpin Negeri Johor yang gagah ini.

“Pilih Perikatan Nasional kerana wadah ini adalah menawarkan kepimpinan yang wibawa, bersih dan prihatin rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yakin kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di DUN N10 Tangkak bakal musnah pada 12 Mac ini.

Azmin berkata dengan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat terhadap PN, DUN Tangkak akan dapat dirampas.

Sebelum ini, kerusi DUN Tangkak dikuasai DAP selama dua penggal lalu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Ee Chin Li menang dengan majoriti sebanyak 5,077 undi mengatasi Goh Tee Tee daripada Barisan Nasional (BN).

Pada PRN 12 Mac ini, DUN Tangkak akan menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan PN meletakkan Dr Chong Fatt Ful, seorang doktor pergigian yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N03 Pemanis.

DAP pula mengekalkan Chin Li, manakala BN meletakkan calon MCA, Ong Chee Siang. Manakala, Muhammad Airel Zabridin mewakili Pejuang dan Zainal Bahrom A Kadir calon Bebas.

Berucap pada pertemuan dengan masyarakat di DUN Tangkak malam tadi, Azmin juga menegaskan PN komited dalam usaha mencerdaskan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin dengan dukungan yang begini kuat, kubu PH di DUN Tangkak bakal musnah. Kita akan tabalkan Dr Chong dari Perikatan Nasional untuk memimpin DUN Tangkak demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-