Friday, March 18, 2022

PM akan mengalah kepada desakan Umno adakan PRU15 awal, kata penganalisis

 malaysiatoday.com

Robin Augustin
-March 18, 2022 11:30 AM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin akan mengadakan PRU15 awal selepas tamat tempoh Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Julai, kata penganalisis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengalah dengan permintaan Umno untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) pada tahun ini, kata seorang penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata ia mungkin berlaku selepas tamat tempoh Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Julai.

“Kini ia semua bergantung kepada Ismail. Kepentingan siapa yang beliau ingin utamakan? Sepatutnya kepentingan negara, maksudnya memanjangkan tempoh jawatan rakan Perikatan Nasional (PN) dalam Kabinet, atau kepentingan Umno?” katanya kepada FMT.

Fauzi berkata Ismail akan tunduk kepada tuntutan Umno kerana pencalonannya sebagai calon pada PRU15 bergantung kepada kepimpinan parti.

Beliau mengulas gesaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini atas alasan pembangkang berpecah dan lemah selepas kekalahan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor. Gesaan itu turut sama dibuat oleh beberapa pemimpin Umno yang lain.

Fauzi berkata Mohamad secara jelasnya menggesa Ismail untuk mengadakan PRU15 awal untuk memanfaatkan momentum BN selepas kemenangan di Melaka dan Johor.

“Lebih lama PRU15 ditangguhkan, lebih banyak masa untuk pembangkang mengukur semula strategi dan taktik bagi menghalang kemenangan besar BN yang dijangkakan,” katanya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Ismail boleh terus menentang gesaan partinya untuk PRU15 awal selagi beliau mengekalkan sokongan Ahli Parlimen PN dan PH.

“Nampaknya PH memihak untuk meneruskan sokongan mereka kepada beliau sehingga tamat penggal kerajaan sekarang,” katanya kepada FMT, sambil menambah beliau tidak percaya bahawa dengan memanjangkan lagi tempoh untuk diadakan PRU15, ia akan mengubah keputusan.

“Mungkin ia hanya akan menjejaskan kemenangan Umno yang dijangkakan sedikit, kerana kebanyakan orang Melayu telah kembali menyokong Umno sebagai kuasa yang kuat untuk melindungi kepentingan mereka, tidak kira apa yang berlaku.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-