Friday, March 18, 2022

PRU15: Nak tunggu apa lagi, tanya Zahid

malaysiakini.com
Hasapaizi Zain, Kow Gah Chie, M Fakhrull Halim & Raveena Nagotra
Diterbitkan: Mar 18, 2022 10:47 AM

PAU 2021 | Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno memahami keputusan untuk membubarkan parlimen terletak pada ketetapan kabinet sebelum ia dipohonkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.

Justeru kata presiden Umno itu pihaknya tidak akan mengganggu urusan tersebut sesuai dengan sifatnya yang menjunjung perlembagaan negara.

"Kita faham bahawa kuasa untuk membubarkan parlimen adalah keputusan kabinet, di mana perdana menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kita tidak mahu mengganggu urusan itu, tetapi Umno sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar perhimpunan kali ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga berkata, apabila mood rakyat sedang condong ke arah Umno, PRU perlu diadakan segera.

“Nak tunggu apa lagi…?

“Bak kata timbalan presiden (Mohamad Hasan) buek apo tunggu lamo-lamo, takut anak daro dicuri orang,” katanya

Sebelum itu Ahmad Zahid berkata langkah parti pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan perlu dicurigai.

Katanya parti terbabit tidak pernah berhenti mahu menghancurkan Umno.

"Apabila mereka bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MOU), ia bererti mereka ada muslihat tertentu.

"Saya percaya, mereka menerima kita kerana mereka tahu itulah cara mereka boleh membunuh kita. They never love us!

"Bacalah perlembagaan setiap parti lawan kita. Sedarlah! You are sleeping with your enemies. Mereka menyimpan belati dalam selimut kita.

“Apakah kita mahu menyambung MOU itu lagi?" katanya.

[Laporan lanjut menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-