Saturday, March 19, 2022

Surat layang kecam Ismail, gesa PRU ditemui di hari terakhir PAU

malaysiakini.com
Haspaizi Zain, Kow Gah Chie, M Fakhrull Halim & Raveena Nagotra
Diterbitkan: Mar 19, 2022 3:31 PM
PAU 2021 | Surat layang yang ditemui di hari terakhir perhimpunan agung Umno, mendakwa Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob merupakan perdana menteri paling lemah kerana tidak mampu menyelesaikan pelbagai isu.

Surat tanpa nama itu juga menggesa pilihan raya umum diadakan dengan segera supaya negara dapat diselamatkan.

Surat tersebut ditemui di atas lantai di luar koridor Pusat Dagangan Dunia (WTC), hanya kira-kira 100 meter dari pintu masuk utama sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.

Tidak jelas sama ada ia turut diedarkan kepada perwakilan Umno yang hadir.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan untuk mendapatkan repsons balas berhubung isu itu.

“Baik buat pilihan raya cepat. Tumbang dia selamatlah kita,” menurut surat tersebut.
“Ismail Sabri paling lemah antara perdana menteri Malaysia! Boneka atas pentas pun kena tolak ke tepi, ke belakang nak bagi laluan kepada Bossku (Najib Razak untuk bercakap kepada media). Nasib baik (Ismail Sabri) tak masuk longkang.

“(Dia) terbang ke Singapura, terbang ke Indonesia, terbang ke Thailand, ke Kemboja naik jet kerajaan. Semua tu makan angin,” menurut surat itu lagi.

“Sampai sekarang percaya apa (M) Saravanan (Menteri Sumber Manusia) cakap sampai negara nak tumbang sebab (orang) Bangladesh. Negara dah jadi macam negara buruh paksa. Satu pun Mail (Ismail) tak boleh selesai,” katanya.

Surat itu juga menyentuh masalah pandemik Covid-19 yang masih tidak selesai, insiden banjir kilat yang melanda negara sehingga menjejaskan kerosakan harta benda.

“Gula-gula RM10,000 berapa lama nak bertahan? Buat kita umpama kerbau dicucuk hidung - tarik jalan, tarik jalan,” menurut surat itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-