Sunday, March 20, 2022

ULASAN| Perihal 'bola besar' Puteri Umno mencabar PM

malaysiakini.com
A Kadir Jasin
Diterbitkan: Mar 20, 2022 1:05 PM

ULASAN | Apabila Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan berkata, dalam bahasa Inggeris "our balls are bigger than yours” dia tentulah tidak merujuk kepada "balls" (bola) untuk bermain bola sepak, bola keranjang atau bola tampar.

Bola yang dirujukkan itu pastinya anatomi manusia lelaki yang dalam bahasa Inggeris disebut "testicles", iaitu sepasang organ pembiakan yang terkandung dalam organ yang dipanggil skrotum. Dalam bahasa basahan ia sering disebut bola atau telur.

Dalam bahasa Melayu, "testicles" yang digolongkan dalam ilmu biologi itu diterjemahkan sebagai "buah zakar".

Tapi jarang sekali kita dengar istilah itu digunakan. Kamus bahasa Melayu Indonesia pula menyebutnya "buah pelir".

Dalam kamus bahasa Melayu Brunei langsung tidak ada. Namun ini tidak bermakna orang lelaki Brunei tidak ada organ itu.
Kalau tak ada, masakan kadar kelahiran bayi di Brunei masih 1.82 bagi setiap wanita subur?

Inilah masalah bagi sesiapa saja yang menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Bahasa Melayu tidak mempunyai istilah asli bagi banyak cabang ilmu khususnya sains, teknologi dan ekonomi.

Jadi terpaksalah ketua Puteri Umno yang nampaknya pakar dalam hal "testicles" atau buah zakar meminjam pakai istilah bola bagi membuktikan keberanian pergerakannya.

Kata orang-orang yang tahu, bola besar yang dirujukkan oleh Zahida Zarik Khan itu bertujuan mencabar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, supaya mengadakan PRU lebih awal.
Sepanjang saya mengikuti, melapor dan menganalisis Persidangan Agung Umno selama lebih 50 tahun, banyak istilah, ungkapan dan label diwujudkan atau dipopularkan semula pada setiap PAU.

Kali ini, selain Zahida Zarik Khan dengan deklarasi bola besar Puteri Umno, ada satu lagi jenama yang menarik iaitu "Cai".

Istilah ini dirujukkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan disanggah oleh orang senegerinya, Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin kata, Cai ini muncul pada setiap pemilihan parti. Cai atau Macai asalnya daripada dialek Kantonis yang merujuk kepada orang Melayu dalam nada kurang hormat.

Lebih kurang budak kecil yang boleh diperkudakan.
Apapun, kalau bola Puteri Umno lebih besar daripada orang lain, khususnya dalam Umno, eloklah mereka mulakan operasi membersihkan parti itu daripada manusia jenis "Plundering Idiot" yang menyebabkan ia kalah dalam PRU lalu.

Kalau Umno bersih, Puteri Umno pun pasti akan mendapat banyak kekasih.

A KADIR JASIN ialah tokoh wartawan yang pernah bergiat dalam politik melalui Bersatu ketika bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad masih bersama parti itu.

Tulisan ini disiarkan kali pertama di media sosialnya dengan tajuk asal “Perihal Bola Puteri Umno Besar.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-