Faiz Zainudin
-July 26, 2022 11:00 AM
Hubungan antara parti komponen dalam gabungan itu tetap utuh, dan tak timbul isu kononnya tidak wujud lagi kerjasama dalam gabungan PN di Kedah, kata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah Mohd Suhaimi Abdullah.
PETALING JAYA: Bersatu Kedah menyifatkan kenyataan kononnya dikeluarkan Abdul Hadi Awang bahawa PAS berhasrat memerintah Kedah secara bersendirian selepas PRU15 tanpa perlu menumpang kerajaan campuran sebagai tidak tepat seperti dilaporkan media.
Sambil mempertahankan rakan komponen mereka dalam Perikatan Nasional (PN) itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah Mohd Suhaimi Abdullah berkata, berdasarkan maklumat disampaikan kepadanya kenyataan itu sebenarnya tidak dikeluarkan presiden PAS.
“Setahu saya kenyataan tan sri (Hadi) itu (PAS mahu memerintah Kedah sendirian) tidak betul, sebab ada yang maklum kepada kami kenyataan itu tak betul,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, tidak timbul isu melibatkan kerjasama dalam PN di Kedah sebaliknya hubungan antara parti komponen dalam gabungan itu tetap utuh.
“Hubungan kita dalam komponen PN masih kuat. PAS dengan Bersatu masih kukuh. Di Kedah tak ada tergugat, tidak timbul sebarang isu termasuk soal tak mahu kerjasama tidak berbangkit, malah segala persiapan untuk PRU berjalan seperti biasa.
“Kami sentiasa adakan program bersama. Kami sedang bincang dan ingin merasmikan PN Kedah nanti, malah antara PAS-Bersatu tidak ada langsung sebarang perbezaan,” katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan Hadi ketika majlis amanat khas presiden dan taklimat di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, pada Sabtu apabila dipetik berkata PAS berhasrat memerintah Kedah secara bersendirian selepas PRU15 tanpa perlu menumpang kerajaan campuran.
Menurut Harakahdaily, Hadi berkata jika PAS tidak memerintah bersendirian, seboleh-bolehnya parti lain yang “menumpang” mereka dan bukan sebaliknya.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya berkata, ucapan Hadi perlu dilihat secara menyeluruh dan dibuat sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai kemungkinan yang akan berlaku dalam PRU15.
Katanya, PAS sentiasa berusaha mengukuhkan perpaduan antara parti-parti politik Melayu Islam, atas nama Perpaduan Ummah demi memastikan Pakatan Harapan (PH) dan DAP tidak kembali berkuasa selepas PRU15.
“Pembentukan kerajaan Kedah adalah bersifat campuran yang terdiri daripada PAS, Umno dan Bersatu. Dengan semangat kerjasama dan setiakawan yang ditunjukkan oleh PAS, kerajaan Kedah berada dalam keadaan stabil, dan terbukti berjaya memacu kejayaan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Itulah juga kerajaan diharapkan rakyat selepas PRU15. Namun dengan keadaan rakan-rakan muafakat yang masih tidak menentu, bahkan sebahagiannya masih berdepan masalah dalaman sama ada hendak bertanding secara solo atau bermuafakat, PAS Kedah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada FMT.
Justeru, katanya, presiden “menyatakan keyakinannya tentang keupayaan PAS Kedah mencapai kemenangan lebih baik” berasaskan prestasi baik PAS Kedah, selain kekuatan jentera yang siapsiaga, dan dukungan padu akar umbi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.