Saturday, July 30, 2022

'Dengan usaha pembaharuan PM dan kelulusan ROS, PRU mungkin bukan tahun ini'

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri & Hariz Mohd
Diterbitkan: Jul 30, 2022 10:13 PM
Dengan memorandum persefahaman (MOU) antara PH dan kerajaan menghampiri tarikh tamat, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu mengesahkan bahawa dia akan akur dengan keputusan partinya untuk tidak melanjutkannya.

Pada masa sama, Ismail yang merupakan naib presiden Umno membayangkan masih ada beberapa perkara yang perlu dilakukannya berhubung MOU itu dan perjanjian bertulis tidak diperlukan untuk meneruskan persefahaman dengan pembangkang.

Dia juga tidak memberi jawapan secara terus berhubung bila dia akan membubarkan Parlimen bagi membuka jalan kepada PRU15.

Beberapa penganalisis politik yang dihubungi Malaysiakini berpandangan Ismail menghantar isyarat yang dia tidak akan membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat, dengan ada yang menjangka PRU hanya akan diadakan tahun depan.

Mereka juga berkata, kelulusan yang diberikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terhadap pindaan perlembagaan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti selepas PRU15, akan memberi lebih masa kepada Ismail Sabri untuk menangani pergelutan kuasa dalam Umno dengan kem yang diketuai presiden Ahmad Zahid Hamidi.

"Isu genting sama ada Ismail Sabri perlu menjadi presiden Umno atau tidak boleh ditangani sebaik selepas PRU15 selesai memandangkan Umno telah menyatakan dia akan menjadi calon perdana menteri bagi PRU15.

"Penangguhan pemilihan Umno memberi lebih manfaat kepada Ismail Sabri berbanding Zahid jika Umno menang dalam PRU15," kata Shazwan Musfata Kamal, pengarah bersekutu Vriens & Partners, sebuah firma perunding dasar awam, hal ehwal kerajaan dan risiko politik.
Sementara itu, Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata keputusan ROS secara tidak langsung menutup pintu untuk pensabotaj, sama ada dari luar atau dalam, untuk melemahkan Umno.

"Sebarang pertembungan dalaman antara kem yang bersaing akan mereda dengan tiadanya pemilihan parti sebelum PRU15. Maka gagal usaha untuk melemahkan Umno dari luar dan juga dari dalam parti.

"Umno 'Menara Dato Onn' kekal berkuasa walaupun dengan usaha oleh 'kluster kabinet' untuk menggunakan pemilihan parti bagi merampas kuasa," katanya lagi.

Nikmati sokongan pembangkang

Awang Azman berkata lagi, kenyataan Ismail Sabri pada hari Rabu lalu boleh dilihat sebagai isyarat kepada kedua-dua pemimpin Bersatu dan Umno yang memberi tekanan kepadanya.

“Kenyataannya juga memberi mesej bahawa sebagai perdana menteri, dia memegang kuasa untuk menentukan bila masa terbaik untuk mengadakan PRU15.

“Ia juga isyarat kepada Bersatu yang mendesaknya untuk memberikan jawatan timbalan perdana menteri kepada mereka, dan isyarat kepada pemimpin Umno tertentu yang telah mendesak dia untuk membubarkan Parlimen,” katanya.

Penganalisis yang berpangkalan di Singapura Oh Ei Sun pula berpendapat Ismail Sabri mungkin akan menangguhkan pilihan raya selambat mungkin untuk memanjangkan tempohnya memegang kuasa di tengah-tengah pergelutan kuasa dalam Umno.

“Ini kerana dia mungkin digantikan oleh partinya sebagai PM selepas pilihan raya, kerana kumpulan arus perdana dalam parti mungkin mahukan seseorang yang mengikut arahan dengan lebih rapat.

“Jadi, Ismail Sabri pada dasarnya memberitahu kumpulan arus perdana Umno bahawa walaupun MOU tamat, dia terus menikmati sokongan blok pembangkang utama dan dia berkemungkinan besar tidak akan membubarkan parlimen dalam masa terdekat,” katanya.
Ismail Sabri berada di barisan ketiga dalam hieraki Umno tetapi menjadi perdana menteri memandangkan Ahmad Zahid berdepan sejumlah pertuduhan rasuah di mahkamah manakala timbalannya Umno Mohamad Hasan bukan ahli parlimen.

Memandangkan asas politiknya tidak begitu kukuh dan dia berdepan risiko digulingkan oleh pihak dari partinya sendiri, dia memeterai MOU dengan PH pada tahun lalu.

Menerusi MOU itu, dia berjanji untuk melaksanakan sejumlah pembaharuan dan pembangkang sebagai pertukaran berjanji untuk tidak menyokong sebarang langkah untuk menggulingkannya.

MOU itu juga membuatkan Ismail Sabri berjanji kepada pembangkang bahawa dia tidak akan membubarkan Parlimen sekurang-kurangnya sehingga esok (31 Julai).

"Di tahap ini, kita masih tidak dapat menjangka bila pilihan raya akan diadakan kerana ia bergantung kepada perebutan kuasa antara Ismail Sabri dan kumpulan arus perdana Umno yang masih berterusan dengan tiada pihak yang jelas lebih kuat," tambah Oh.

Beri tumpuan kepada pembaharuan

Pandangan Oh itu turut dikongsi oleh Pensyarah Kanan Politik dan Perhubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Mohd Sani, yang berkata perdana menteri berkemungkinan besar akan menangguhkan PRU sekurang-kurangnya sehingga selepas Januari.

Katanya, walaupun janji Ismail Sabri untuk tidak membubarkan Parlimen sudah sampai tarikh tamatnya, dia masih memerlukan sedikit masa sebelum semua pembaharuan yang dijanjikan dilaksanakan.

“Sebagai contoh, Rang Undang-undang Anti Lompat Parti telah diluluskan oleh Parlimen tetapi ia masih belum melalui semua proses ke arah pewartaan.

“Kalau tak silap saya, paling awal ia boleh diwartakan dan menjadi undang-undang ialah pada Januari.

"Undang-undang ini perlu ada sebelum PRU15, jadi nampaknya pilihan raya tidak akan diadakan sekurang-kurangnya sehingga itu," katanya.

Azizuddin berkata perdana menteri akan memberi tumpuan untuk melaksanakan pembaharuan bagi meningkatkan imejnya dan mendapat kepercayaan rakyat, terutama apabila dia memang mahu terus menjadi perdana menteri.
Sebaliknya, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpendapat Ismail Sabri masih perlu mempertimbang banyak faktor sekiranya dia bercadang untuk menangguhkan PRU.

Dia berkata Ismail Sabri masih perlu mengambil kira bagaimana Umno akan menanggapi keputusannya berhubung perkara itu.

“Saya rasa dia sedang melihat platform lain untuk mengadakan kerjasama politik dengan pembangkang tanpa sebarang dokumen rasmi. Dia mungkin masih perlukan masa untuk melihat perkara yang dipersetujui dalam MOU, tetapi ada faktor lain yang dia perlu ambil kira - keadaan ekonomi dan politik semasa - untuk membuat keputusan.

“PRU15 boleh diadakan seawal Oktober atau November jika dia berjaya mengadakan persefahaman awal dengan pembangkang mengenai perkara-perkara yang belum selesai. Tetapi dia juga perlu mempertimbangkan hal parti dan keputusan parti kerana asasnya masih dalam parti,” katanya.

Pada masa sama, Sivamurugan berkata keputusan ROS akan membolehkan Umno memberi tumpuan kepada PRU15 sebelum memutuskan kepimpinan barunya.

Ditanya tentang kesan kelulusan itu kepada pesaing Umno, Sivamurugan berkata, "Semua pihak mesti membuat persiapan sendiri tanpa bergantung kepada kelemahan pihak lain".

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-