Monday, July 4, 2022

Mahkamah tolak permohonan Zahid tangguh prosiding

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-July 4, 2022 1:43 PM
Ahmad Zahid Hamidi memfailkan permohonan pada 23 Jun lalu untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu keputusan rayuannya bagi mendapatkan keterangan saksi yang dirakam SPRM. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan pihak pendakwaan daripada melakukan pemeriksaan balas lanjut ke atasnya sementara menunggu keputusan rayuan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, Zahid tidak akan diprejudis, sekiranya pemeriksaan balas diteruskan.

“Tiada keadaan khas untuk menangguhkan prosiding kerana pemohon (Zahid) belum memenuhi ambang. Beliau tidak dinafikan perbicaraan adil,” katanya.

Sequerah berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang enggan memberikan penangguhan.

Katanya, peguam Zahid boleh menemu bual saksi, termasuk ahli keluarga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

“Pihak pendakwaan juga akan membantu mereka (pembelaan) dalam mendapatkan saksi,” katanya.

Presiden Umno itu memfailkan permohonan penangguhan itu pada 23 Jun lalu, sementara menunggu keputusan rayuannya untuk mendapatkan keterangan saksi yang dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran berhujah, Zahid cuba melengahkan perbicaraan rasuahnya, yang bermula pada 2019.

“Pemohon (Zahid) menangguhkan perbicaraan untuk mahkamah menentukan keputusan akhir.”

Beliau berkata, Zahid adalah bekas timbalan perdana menteri dan perbicaraan ini mendapat perhatian media dari dalam dan luar negara.

Katanya, Zahid berdepan tuduhan serius dan jika disabit bersalah, ia akan membawa hukuman penjara yang panjang.

Beliau menegaskan Zahid tidak akan diprejudis sekiranya penangguhan prosiding tidak dibenarkan.

“Perbicaraan ini adalah peluang untuk beliau membela diri,” katanya sambil menambah perbicaraan itu bermula tiga tahun lalu dan Zahid memfailkan empat permohonan interlokutori setakat ini untuk menangguhkan kes itu.

Beliau berkata, permohonan terbaharu ini difailkan pada 23 Jun lalu, selepas mahkamah pada 9 Mei memutuskan beliau tidak berhak mendapat akses kepada keterangan 11 saksi yang dirakam SPRM.

“Mengapa membuat permohonan di saat akhir apabila perbicaraannya akan bersambung pada 27 Jun?” soalnya.

Sementara itu, peguam utama Zahid, Hisyam Teng Poh Teik berhujah, tertuduh mahu keterangan itu memberikan “pembelaan lengkap dan menyeluruh”.

“Beliau tidak mahu memberi pembelaan secara ansuran,” katanya sambil menambah keterangan saksi akan menguatkan keterangan Zahid dan permohonan itu adalah pertandingan antara perbicaraan pantas dan perbicaraan adil.

Tetapi, katanya, kepantasan tidak boleh dikorbankan demi keadilan dan Zahid berhak mendapat perbicaraan adil seperti dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Perbicaraan bersambung esok.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-