Sunday, August 28, 2022

Lebih 100,000 tandatangan petisyen Najib tak wajar diampunkan

bharian.com.my
Oleh Saadiah Ismail
saadiah_ismail@bh.com.my
Ogos 28, 2022 @ 3:35pm
Najib ketika bertemu penyokong sebelum mahkamah menolak rayuan akhir dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC- NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Beberapa petisyen berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta susulan kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), muncul di laman sesawang Change.org.

Dua daripada petisyen itu menuntut pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke atas Najib, manakala satu lagi diwujudkan agar Ahli Parlimen Pekan itu tidak wajar diampunkan.

Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan dan Adil (BERSIH) ketika ini sehingga jam 3 petang ini sudah berjaya mengumpulkan 109,097 tandatangan.

Daripada petisyen diwujudkan itu, mereka menjangkakan 150,000 tandatangan dapat dikumpulkan untuk memastikan pengampunan Najib tidak terlaksana.

Sementara itu, Petisyen kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong: Pengampunan Diraja kepada Datuk Seri Najib yang diwujudkan seorang individu pada Rabu lalu, sudah mengumpulkan 6,931 tandatangan berbanding 7,500 yang disasarkan.

Satu lagi petisyen iaitu Solidariti Pengampunan Diraja Untuk Najib Razak yang diwujudkan BNComms Selangor setakat ini hanya mengumpulkan 337 tandatangan berbanding 500 dicadangkan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta ahlinya menyokong petisyen pengampunan terhadap Najib.

Najib mula menjalani hukuman penjara Selasa lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya susulan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Keputusan dibuat sebulat suara panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-