B Nantha Kumar
Diterbitkan: Aug 24, 2022
Hampir 300 penyokong tegar Najib Abdul Razak berkumpul di hadapan Istana Negara di Kuala lumpur hari ini memohon Yang di Pertuan Agong supaya memberikan pengampunan di-raja kepada bekas perdana menteri itu.
Ia susulan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskannya bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM210 juta bermula semalam setelah dihantar ke Penjara Kajang.
Majlis penyerahan memorandum itu dianjurkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia.
Presidennya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata memorandum hari ini selain memohon pengampunan diraja mempunyai beberapa permintaan lain.
"Permohonan pertama adalah pengampunan diraja serta merta kepada Najib.
"Keduanya kami mohon Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan Pengarah Pesuruhjaya Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) untuk menghadap baginda menyemai bukti kes konflik berkepentingan membabitkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali," katanya.
Menurutnya, dia adalah pengadu (whistle blower) berhubung Nazlan kepada sebuah portal yang mendakwa terdapat konflik kepentingan dalam kes Najib.
"Tapi, peguam negara baru baru ini berkata hasil siasatan SPRM itu tidak sampai kepada tangan beliau. Adakah konflik kepentingan ini wujud ataupun tidak. Itu yang kami ingin tahu dan perkara ini. Saya rasa tidak perlukan campur tangan politik dalam kes ini.
"Ketua pengarah SPRM dan peguam negara harus menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi penjelasan. Jika tidak rakyat akan keliru. Ini satu penganiayaan yang dilakukan terhadap Najib," katanya.
Mohd Nazlan telah menafikan dakwaan itu serta niat jahat untuk menjejaskan kredibilitinya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan mengganggu sistem keadilan selain institusi kehakiman melalui artikel tersebut.
Sementara itu, Syed Muhammad turut mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya menyegerakan proses pengampunan diraja.
"Pengampunan diraja terhadap Najib perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia iaitu PM harus memberi satu surat kepada baginda untuk pengampunan Najib.
Dia juga mendesak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik sokongan kepada kerajaan pusat hari ini.
"Saya mohon presiden Umno tarik sokongan kepada kerajaan campuran semasa supaya ada pembubaran parlimen.
"Kami percaya kepada PM sehingga hari ini tapi jika ia (pengampunan diraja) tak berlaku, saya anggap kerajaan ini kerajaan zalim.
"Jika ini adalah kerajaan Muhyiddin tidak mengapa, tapi ini kerajaan BN, dan orang yang kamu aniaya pemimpin BN yang banyak berjasa kepada negara. Saya rasa kalau beliau (Najib) tak ada Umno akan hancur," katanya.
"Kami nak Ismail Sabri dan Zahid datang ke sini sekarang. Kami tidak akan berganjak walaupun seinci sehingga mereka ke sini," katanya.
Namun, bagaimanapun, mereka akhirnya bersetuju bersurai secara aman selepas pihak polis mengarahkan sedemikian.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.