zuhayati
Budaya politik matang sejahtera memang wajar diamal oleh semua parti
BANGI, 4 Muharram 1444H, Selasa – Pertandingan tiga penjuru antara parti Melayu Islam sukar dielak dan perlu diteruskan atas nama semangat persaudaraan.
Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara berkenaan perlu diterima sebagai persaingan sihat dalam arena politik.
“Serang menyerang politik boleh dikurangkan dan diganti dengan kritikan politik yang adil dan berilmu serta berfakta.
“Budaya politik matang sejahtera memang wajar diamalkan oleh semua orang politik dengan sentiasa mengemukakan politik berprinsip, politik penyelesaian Islam, melebarkan nasihat-menasihati, amar makruf nahi mungkar, politik mengutamakan rakyat, politik benar tidak mencipta persepsi, politik damai dan diplomasi serta politik rasional dan profesional,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Kenyataan berkenaan dipercayai merujuk kepada ucapan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyentuh isu kerjasama antara PAS dan UMNO bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, kerjasama antara PAS dan UMNO perlu dibuat secara menyeluruh dan bukan di negeri tertentu sahaja.
Bagaimanapun, Mohd Khairuddin berkata, Muafakat Nasional (MN) masih ada harapan lagi dan tetap berguna walaupun hubungannya kini dilihat suam-suam kuku.
Tegas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, gabungan antara PAS dan UMNO diyakini mampu dijadikan platform kerjasama dalam perkara kebajikan dan takwa.
Katanya, selagi kerajaan bersama di peringkat Persekutuan berjalan, ruang kerjasama sentiasa ada untuk diperkukuhkan.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.