Wednesday, August 31, 2022

PH dah tak marah UMNO, kerana takut banyak kritik PN, Bersatu

agendaily.com
31/08/2022
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Pakatan Harapan (PH) kini dilihat lebih mesra dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO, sebaliknya pemimpin parti komponen dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim itu lebih banyak menyerang Perikatan Nasional (PN), khususnya Bersatu dan PAS.

Contoh ini dapat dilihat apabila sejak kebelakangan ini Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang kini lebih ‘mesra’ BN/UMNO lebih banyak memfokuskan kepada PN, khususnya Bersatu, dalam setiap ceramah jalanan yang diadakannya.

Tidak terkejut apabila PH kurang menyerang BN yang memerintah negara lebih enam dekad lalu, kerana Anwar yang mengetuai gabungan itu adalah cikgu kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi PN.

Namun, sebagaimana dinyatakan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, kritikan terhadap PN dan Bersatu adalah disebabkan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memiliki rekod cemerlang mentadbir negara walaupun dalam tempoh yang singkat.

“Kritikan yang dibuat BN, UMNO dan PH terhadap Bersatu menunjukkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak lemah selain memiliki rekod cemerlang dalam pentadbiran negara.

“Jika benar Bersatu parti lemah, kenapa Bersatu berada dalam ingatan mereka setiap hari… setiap malam?.

“UMNO dan BN meratib tak habis-habis mengenai Bersatu. PH kalau kritik pun mengenai Bersatu dan dah tak marah pada UMNO dah.

“Nampak seolah-olah perhatian yang diberi kepada kita ini tidak kena dengan retorik yang ditimbulkan terhadap Bersatu. Kenapa yang menghantui pemikiran mereka adalah Bersatu?

“Biasanya bila ingat ini, adalah salah satu antara dua, sama ada rindu dan sayang ataupun takut,” kata Wan Saiful etika berucap di majlis perasmian Persidangan Tahunan Berkelompok Cawangan-Cawangan BERSATU Bahagian Bangi 2022 di Kajang, semalam.

Wan Saiful dilaporkan berkata seluruh rakyat Malaysia tahu Bersatu adalah parti pertama menawarkan seorang individu yang berwibawa untuk menjadi Perdana Menteri.

“Ini kerana parti-parti besar seperti UMNO dan DAP mempunyai krisis integriti dalam kalangan pemimpin mereka, terutama yang mempunyai kes mahkamah.

“Sebut Presiden UMNO, bakal banduan. Bekas Presiden UMNO, dah masuk penjara. Kalau nak kira pemimpin atasan UMNO, pening kepala dengan kes mahkamah.

“Sebut pula pemimpin dari PH, parti paling besar dalam Parlimen adalah DAP. Pemimpin atasan mereka juga ada kes mahkamah. Sebut PKR pula, ada sejarah tersendiri.

“Bersatu sentiasa memikirkan mengenai ekonomi dan rakyat. Kita tak fikir sangat mengenai jawatan dan habuan,” katanya sambil menegaskan rakyat kini tidak mahu lagi BN/UMNO kembali memerintah Malaysia untuk mengelak penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Inilah bezanya Bersatu dengan UMNO-BN. Adakah kita nak kembalikan era pemerintahan UMNO-BN?.”

Wan Saiful menegaskan bahawa yang menimbulkan keadaan tidak stabil dalam negara sekarang ini bukan Bersatu, sebaliknya BN dan UMNO.

“Muhyiddin dijatuhkan dengan sedemikian oleh 15 pengkhianat dari UMNO. Sekarang ini pula sama-sama UMNO… di mana PM dari UMNO pun nak dijatuhkan oleh UMNO sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-