Sunday, August 7, 2022

PN sahkan masih sokong PM, tidak timbul isu tarik sokongan: Annuar

agendaily.com
07/08/2022
Tan Sri Annuar Musa.

Perikatan Nasional (PN) sudah memberi penjelasan berhubung spekulasi menarik sokongan yang timbul sebelum ini dan isu tersebut tidak perlu dibangkitkan lagi, kata Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa penjelasan PN itu sudah cukup untuk menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih kukuh dan boleh meneruskan tugasnya sebagai ketua kerajaan ketika ini.

“Selepas macam-macam berita keluar, kita telah dapat kepastian bahawasanya PN masih lagi dalam kerajaan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Annuar terdahulu melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia hari ini.

Jelasnya lagi, semua pihak perlu bersabar kerana masanya akan tiba apabila Parlimen dibubarkan dan tidak seharusnya terus menekan Ismail Sabri untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan segera.

“Bila tiba masanya, Perdana Menteri akan umum bubar Parlimen dan ketika itu kuasa memilih kerajaan baharu akan diserahkan kepada rakyat.

“Buat masa ini, Perdana Menteri akan terus fokus dan komited untuk membantu rakyat mengharungi tempoh sukar ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan PN bercadang menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri selepas kecewa mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Khamis lalu dengan PN dibatalkan pada saat akhir.

Parti komponen PN dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Terdahulu, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memberi komitmen PN akan terus menyokong kepimpinan Ismail Sabri demi kestabilan politik negara

Menurut Ronald, sokongan tersebut akan kekal sehingga berakhir mandat PRU-14 pada tahun depan dan hanya akan berakhir apabila pPRU-15 kelak diadakan nanti.

“Tempoh mandat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan tamat pada Mei tahun depan, jadi sehingga kini kita memberikan komitmen untuk terus menyokong Perdana Menteri (Ismail Sabri) dan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara berkekalan sehingga PRU yang akan dipanggil (diumumkan),” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi PN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-