Diterbitkan: Aug 23, 2022 1:16 PM
Gambar hiasan
Polis Pahang sudah bersedia jika parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan.
Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata latihan dan penstrategian yang diperlukan pasukan itu juga sudah dan sedang dilakukan pihaknya.
"Selama beberapa tahun kesiapsiagaan memang dah sedia ada dan Pahang adalah satu daripada semua kontinjen yang sebegitu (bersedia).
"Latihan sama ada dalam bentuk latihan dalam perkhidmatan atau taklimat terkini sedang dibuat kerana kemungkinan PRU yang lepas tak sama dengan PRU ke-15.
"Jadi, mungkin dari segi pertambahan keanggotaan bertugas di lapangan perlukan latihan dan orientasi yang baru," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan PRU ke-15 diadakan tidak lama lagi susulan perkembangan terkini suasana politik negara.
Semalam, sekumpulan ketua Umno bahagian mengadakan perjumpaan tergempar di ibu negara, dikhabarkan bagi membincangkan persediaan parti itu menjelang PRU ke-15.
Mengikut laporan pelbagai media, mesyuarat itu antara lain dilihat sebagai usaha terakhir Umno untuk 'memujuk' Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen segera berikutan keputusan perbicaraan Najib Razak di Mahkamah Persekutuan dijangka diketahui minggu ini.
Bekas perdana menteri itu sedang melalui prosiding rayuan terakhir dan jika gagal, hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini akan dilaksanakan.
Ahli Parlimen Pekan itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.
Sementara itu, Ramli memberitahu, ada lagi faktor yang perlu diambil kira dan diberikan pengolahan semula latihan sedang berjalan.
Ia termasuk keperluan penambahan anggota bagi tujuan penugasan kerana ada saluran baharu akan diwujudkan pada PRU ke-15.
"Itu semua kami ambil kira dan sekiranya PRU ke-15 berlangsung, kami berharap kita telah bersedia dengan kelengkapan sama ada secara fizikal ataupun mental atau (faktor) geografi," katanya lagi.
Ramli juga memaklumkan terdapat kira-kira 5,000 pegawai dan anggota polis bertugas di Pahang dan setakat ini jumlah itu memadai jika PRU ke-15 diadakan pada bila-bila masa.
"Kalau diperlukan (penambahan anggota), kita akan memikirkan kaedah baru bagi memenuhi (mengatasi) perkara itu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.