Sunday, August 21, 2022

PRU15: Tak berganjak gerak solo walau PAS ramal BN kalah, tegas Tok Mat

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 21, 2022 6:02 PM
Mohamad Hasan berkata UMNO tidak pernah meninggalkan PAS dalam Muafakat Nasional, sebaliknya PAS yang bertindak meninggalkan Umno untuk bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

PETALING JAYA: Ramalan PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) akan mengalami kekalahan sekiranya bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak akan menggugat pendirian parti itu, kata timbalan pengerusinya, Mohamad Hasan.

Sambil mendakwa PAS yang mula bertindak meninggalkan Muafakat Nasional (MN), beliau yang juga timbalan presiden Umno, berkata partinya atas semangat gabungan itu, sanggup menawarkan lima kerusi untuk ditandingi rakan gabungannya itu di Melaka, berbanding permintaan asal hanya tiga kerusi.

Bagaimanapun, PAS menolak dan mahu bekerjasama dengan “teman baru”, merujuk kepada Bersatu dan rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri di Melaka dan Johor, tahun lalu.

“Kami tak tinggalkan sesiapa, kami tak tinggalkan MN, mereka yang tinggalkan MN, ketika kami nak bersama di Melaka dia minta tiga (kerusi DUN) kami bagi lima. Macam berniaga di Mekah la kan? Beli tiga dapat dua percuma.

“Dia (PAS) kata kita di Melaka cuma boleh menang 11 kerusi, itu sebabnya dia tak mahu bersama dengan kita, dia bersama dengan teman baru dia dan akhirnya kita menang dua pertiga,” katanya menurut Kosmo.

Katanya, MN juga hanyalah sebuah piagam dan tidak mengikat mana-mana parti dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Hari ini, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, berkata beliau pelik dengan sikap Umno yang seperti memaksa parti itu bersama “membenci” Bersatu.

“Kalau Umno duk keluar kenyataan, nak solo, nak solo. Kita tidak berputus asa menyeru mereka kaji balik dan meh duk bincang. Sebab kita hadapi musuh sama dan apa untungnya bertindak dengan tindakan itu, musuh kita boleh berkuasa.

“Dia (Umno) rugi, kita pun rugi. Kena duduk sekali supaya kita untung, musuh rugi,” katanya menurut Kosmo.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-