Saturday, August 27, 2022

Taklimat khas Umno: Penyokong Najib mungkin 'bikin panas' tuding PM - Sumber

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Aug 27, 2022 9:00 AM
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijangka menangani kebimbangan ahli parti berhubung isu yang menjejaskan parti sejak akhir-akhir ini semasa sesi taklimat esok, termasuk pemenjaraan Najib Razak baru-baru ini, menurut orang dalam Umno.

Pemimpin itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata tidak ada rancangan untuk menggunakan taklimat khas tersebut untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya berundur, seperti yang dispekulasi ramai pihak.

Pun begitu, dia tidak menolak kemungkinan beberapa penyokong tegar Najib mungkin cuba menggunakan perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra untuk membawa agenda mereka menyalahkan Ismail berhubung pemenjaraan bekas perdana menteri itu.

"Bukan agenda taklimat esok (desak Ismail berundur). Presiden adil. Himpunan itu lebih kepada menangani keadaan kerana penyokong Umno sangat resah dan (ini) perlu ditangani," kata sumber itu.
Pemimpin itu bercakap kepada Malaysiakini untuk meluruskan rekod berikutan khabar angin bahawa Ismail Sabri telah diberi kata dua oleh biro politik Umno untuk membubarkan parlimen atau berdepan penyingkiran daripada parti.

Jelasnya, tidak ada kata dua atau ancaman sedemikian telah dibuat terhadap perdana menteri.

Bagaimanapun, sumber itu, yang mengetahui perbincangan parti peringkat atasan, mengakui terdapat perbincangan sebegitu di kalangan segelintir ahli dan pemimpin Umno yang pro-Najib.

Kumpulan ini, dakwanya mahu menekan Ismail kerana tidak berusaha untuk menghalang pemenjaraan ahli parlimen Pekan itu.
“Memang ada beberapa kumpulan (dalam Umno) yang benar-benar emosi dan mereka membincangkan perkara ini.

"Tetapi ia bukan dalam mesyuarat biropol (biro politik). Ia adalah perbualan sampingan yang agak melampau."

Sesi taklimat esok, kata orang dalam itu lagi, dijangka terutamanya berkisar mengenai Najib.

Dia mendakwa beberapa pemimpin parti telah cuba mempengaruhi orang lain dalam Umno untuk menyalahkan Ismail berhubung apa yang berlaku kepada Najib.
"Mungkin kumpulan pro-Najib akan cuba menggunakan acara esok sebagai platform untuk memanaskan keadaan.

Bagaimanapun, orang dalam itu tidak menjangkakan bahawa suhunya akan menjadi terlalu panas, berkata Ismail juga mempunyai penyokongnya dan ramai yang "mula bertenang dan lebih berhati-hati" kini.

Najib dihantar ke Penjara Kajang pada Selasa selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya terhadap tujuh sabitan jenayah dan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International.

Sehari kemudian, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam ciapannya di Twitter mengumumkan Umno akan mengadakan sesi taklimat khas di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada pukul 2 petang esok dan akan menyentuh "hal ehwal semasa."

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-