Wednesday, January 25, 2023

Harapan cerah PN rampas Selangor dalam PRN selepas tinjauan Pemuda

agendaily.com
25/01/2023
Ketua Pemuda Perikatan Nasional yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Pemuda Perikatan Nasional (PN) dikatakan sudah selesai melakukan tinjauan awal pendapat berhubung tingkah laku pengundi di Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan dalam beberapa bulan lagi.

Tinjauan itu disahkan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari yang menjelaskan gabungan berkenaan mempunyai peluang untuk merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang.

“Alhamdulillah selesai tinjauan di Selangor, harapan cerah untuk rampas kerajaan negeri di dalam PRN,” katanya.

Tanpa menjelaskan hasil penuh tinjauan itu, beliau yang juga Ketua Pemuda PAS dan Ahli Parlimen Pasir Mas berkata pengundi yang sebelum ini berasa ditipu oleh Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, dan PH boleh memilih PN.

“Pengundi BN yang tertipu kononnya BN tidak bekerjasama dengan PH, silakan undi Perikatan Nasional.

“Begitu juga pengundi PH yang benar-benar percaya bahawa undi PH bermakna tolak BN, pun rasa tertipu, silakan undi Perikatan Nasional.

“Kali ini, Insya-Allah Selangor kita tawan! BN-PH kedua-duanya kita kalahkan sekali gus,” katanya merujuk kepada tindakan kedua-dua gabungan itu yang bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebelum PRU-15 dan ketika kempen berjalan, UMNO dan PH saling serang menyerang, malah DAP, salah satu komponen PH, sering mengembar-gemburkan BN dan parti keramat Melayu itu sebagai perasuah dan perompak, manakala UMNO melaungkan slogan ‘No Anwar No DAP’.

Sebaliknya, selepas PRU-15 pengundi dan penyokong kedua-dua gabungan itu ditipu apabila Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan UMNO kini ‘berkahwin’ menubuhkan kerajaan diterajui PH.

Untuk rekod, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah, perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh beberapa bulan lagi, yang akan melibatkan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selangor mempunyai kawasan DUN terbanyak iaitu 56 kerusi, diikuti Kelantan (45 kerusi); Pulau Pinang (40 kerusi); masing-masing 36 kerusi bagi Kedah dan Negeri Sembilan; dan Terengganu (32 kerusi).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-