Wednesday, January 25, 2023

Wan Saiful: 'PH pasang lukah, Umno mandul' lepas kerjasama DAP

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 25, 2023 8:59 PM
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan cuba menjejaskan pemilikan hartanah Melayu dan taburan penduduk melalui dasar perumahan.

Ini selepas Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mendedahkan bahawa kementeriannya akan bertemu dengan kontraktor daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura untuk mengetahui kejayaan program perumahan awam di negara itu.

Wan Saiful memberi amaran bahawa nasib Bumiputera akan terancam jika model HDB dilaksanakan di negara ini.

Ahli parlimen Bersatu itu memetik Pulau Pinang sebagai kajian kes atas dakwaannya itu.

"Jika dikaji apa yang PH telah lakukan di Pulau Pinang setelah mereka belajar dari Singapura dan Hong Kong, memang rakyat perlu bimbang kerana kelompok terbesar dalam kerajaan hari ini ialah DAP," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Daripada 148 ahli parlimen yang menyokong kerajaan, DAP memiliki 40 kerusi dan hanya mempunyai empat menteri dalam kabinet yang dianggotai 28 menteri itu.

Meneruskan dakwaan, Wan Saiful tanpa menyebut sumber datanya berkata di Pulau Pinang, pemilikan tanah Melayu di daerah Timur Laut ialah 1.16 peratus, dan 15 peratus di daerah Barat Daya.

Bagaimanapun, grafik yang dikongsikan Wan Saiful di laman Facebook menunjukkan ia daripada temu bual Berita Harian Mac 2018 bersama Adun Pulau Betong ketika itu Muhamad Farid Saad.
Farid tidak menjelaskan sumber datanya dalam temu bual itu, tetapi mengatakan bahawa dia telah menjalankan kajian mengenai pemilikan tanah Melayu di Pulau Pinang pada 2010.

Sementara itu, Wan Saiful turut memetik data kerajaan negeri 2010 yang menunjukkan pemilikan hartanah Melayu di Pulau Pinang ketika itu ialah 27 peratus, berbanding 55 peratus milik Cina.

"Kita perlukan data terkini untuk 2023 tetapi apa yang jelas ia menunjukkan pemilikan hartanah bumiputera yang jauh terkebelakang sudah sekian lama," katanya.

Wan Saiful juga merumuskan bahawa berdasarkan transaksi melibatkan hartanah kompleks kediaman, perindustrian dan komersial yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), pemilikan hartanah Bumiputera adalah pada 36.3 peratus.

Malaysiakini tidak dapat mencari data daripada pusat berkenaan mengenai perkara ini.

‘Sujud pada DAP’

Bagaimanapun, carian menemui artikel Bernama pada 2014, yang menyatakan data 2012 daripada Napic menunjukkan hanya 36.3 peratus transaksi hartanah kediaman melibatkan Bumiputera.

Tidak jelas sama ada statistik transaksi itu mengambil kira hartanah milik Bumiputera yang tidak bertukar tangan.

Wan Saiful menggunakan peribahasa mendakwa "PH sedang memasang lukah di penggentingan" (yang bermaksud mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain).

Wan Saiful juga menuduh "Umno terus diam dan bersujud kepada DAP" mengenai isu ini.

"Walaupun dalam isu besar yang membabitkan pemilikan hartanah Bumiputera seperti ini.

"Umno sudah rosak dan mandul setelah bersekedudukan dengan DAP," katanya.

Sebelum ini, ahli majlis tertinggi Bersatu Faiz Na'aman menuduh Nga menjejaskan kedaulatan negara dengan membawa masuk pakar HDB ke dalam kementeriannya.

Sumber pertikaian mengenai wawancara Nga yang dipetik Astro Awani pada 17 Jan, apabila dia mengumumkan bahawa kerajaan Singapura telah bersetuju untuk membenarkan kontraktor HDB "masuk" Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan bulan depan untuk berkongsi kepakaran mereka.

Pada satu kenyataan kemudian, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan menjelaskan pihaknya akan mengadakan sesi perkongsian pengetahuan bersama pakar perumahan Singapura.

Ini dikatakan sebahagian usaha kementerian itu untuk mengkaji program perumahan awam yang berjaya di negara lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-