Thursday, January 26, 2023

Zahid perlu direhat hingga perbicaraan kes rasuah selesai, PM diberitahu

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-January 26, 2023 10:46 PM
Ahmad Faizal Azumu meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim merehatkan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi susulan tindakannya memohon mendapatkan semula pasport antarabangsa secara kekal.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa merehatkan Ahmad Zahid Hamidi daripada menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri.

Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu membuat gesaan itu bagi membolehkan presiden Umno itu memberi fokus kepada proses perbicaraan mahkamah, seterusnya membuktikan beliau tidak bersalah terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Gesaan itu susulan tindakan Zahid memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal kepada mahkamah bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

“Bagi memastikan perbicaraan kes di mahkamah diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan, Zahid digesa direhatkan daripada tugas sebagai timbalan perdana menteri.

“Ia berikutan permohonan difailkan Zahid kepada mahkamah untuk pasport beliau dikembalikan secara kekal, walaupun dokumen itu sebelum ini telah diserahkan bagi mematuhi syarat ikat jamin perbicaraan masih berlangsung, berkaitan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, permohonan Zahid bagi mendapatkan pasport dengan alasan kepentingan negara bagi menjalankan tugas rasmi ke luar negara dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim dan akan menganggu proses perbicaraan.

“Walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun bidang tugas dipegang Zahid dalam pentadbiran kerajaan ketika ini, akan memberi kesan kepada kuasa kehakiman untuk menjamin perbicaraan efisyen, lancar tanpa penangguhan.

“Pemulangan pasport berkenaan pastinya akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan, dengan pelbagai alasan urusan tugas, seterusnya akan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan,” katanya.

Katanya, tindakan merehatkan Zahid juga bagi menjamin sistem kehakiman negara bebas dan adil, selain memastikan perbicaraan telus tanpa sebarang campur tangan dan penangguhan.

Terdahulu, Zahid memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Zahid, 70, berkata permohonan tersebut adalah bersifat “bona fide” (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-