Oleh Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my
- Februari 14, 2023
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah meminta beliau menarik balik semua kes perbicaraan di mahkamah yang sedang dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.
Bercakap kepada Thai PBS dalam temuramah eksklusif, Perdana Menteri berkata, pihaknya turut memberi 'kredit' kepada Presiden UMNO itu yang tidak campur tangan sepanjang proses perundangan terbabit dilaksanakan.
"Setakat ini, beliau tidak campur tangan... kita perlu melihat prosesnya... beliau juga tidak pernah meminta saya menggugurkan kes yang sedang dihadapinya kini," katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditanya bagaimana beliau bekerjasama dengan Ahmad Zahid yang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah, namun pada masa sama berjuang menentang jenayah itu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sedang berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, tadbir urus yang baik tetap menjadi agenda Kerajaan Perpaduan di mana Ahmad Zahid juga perlu melalui proses terbabit.
Mengulas lanjut soalan sama, Anwar berkata, adalah tidak patut untuk pihak tertentu memburukkan seseorang ketika seluruh sistem berkenaan sudah rosak.
"Apabila mereka menjadi pembangkang, membangkitkan mengenai rasuah setiap hari tetapi tetap memberikan RM100 juta kontrak kepada anak menantu dan kroni.
"Jadi jika benar-benar mahu menangani isu ini, lakukannya dengan telus," katanya.
Anwar menjelaskan, urus tadbir yang baik dan memimpin negara untuk keluar daripada rasuah juga merupakan antara perkara dipersetujui antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) ketika membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, PH dan BN juga sepakat serta bersetuju bahawa negara memerlukan kestabilan politik bagi melakar masa depan baharu melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan kini.
"Ketidakstabilan politik akan membunuh negara dari segi politik dan ekonomi... selama beberapa tahun kebelakangan ini, tiada apa yang dilihat bergerak... tiada dasar, hala tuju, dan kerana itu, pemimpin mengambil peluang mensia-siakan sebanyak mungkin," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.