Thursday, February 9, 2023

‘Bukan Arab, tapi Cina Malaysia masukkan wang ke akaun Najib’

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Feb 9, 2023 1:07 PM
PERBICARAAN 1MDB l Bekas jurubank Najib Razak hari ini memberi keterangan bahawa bukan orang Arab yang memasukkan wang ke dalam akaun perdana menteri ketika itu.

Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebaliknya "Cina Malaysia" iaitu beberapa individu berkaitan dengan 1MDB dan Low Taek Jho (Jho Low).

Semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion pagi tadi, saksi pendakwaan ke-41 itu menjelaskan wang sentiasa dimasukkan ke akaun Najib melalui bayaran di kaunter oleh Kee Kok Thiam yang didakwa sebagai sekutu Low atau setiausaha banduan itu yang hanya dikenali sebagai Josie.
Low Taek Jho (Jho Low)
Semasa pemeriksaan semula, Timbalan Pendakwa Raya Ahmaf Akram Gharib menyoal Yu mengenai keterangannya sebelum ini mengenaiw berkomunikasinya dengan Low melalui BlackBerry Messenger (BBM) mengenai cara akaun bank Najib ditambah apabila terdapat pengeluaran berlebihan dan apabila perdana menteri ketika itu mengeluarkan cek.

Akram: Adakah mereka orang Arab?

Yu: Bukan. Setahu saya, mereka (Kee dan Josie) adalah Cina Malaysia. Mereka adalah rakyat Malaysia.


Bekas pegawai bank itu memberi keterangan bahawa dia mengenali Kee dan Josie melalui urusannya dengan Low, yang merupakan pelanggan dengan AmBank sejak 2007. Katanya, ahli perniagaan itu kemudiannya mengakui dirinya mewakili dan bertindak untuk Najib, yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Najib Razak
Yu menjelaskan bahawa selaku pemegang akaun, Najib kemudiannya tidak bertanya dengan bank berkenaan urus niaga di kaunter berkenaan.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan lisan mengenai akaun Najib di AmBank yang dibuka pada 2011 dengan alasan bahawa dia menjangkakan derma yang didakwa akan masuk daripada kerabat Arab Saudi, yang kononnya disokong oleh empat surat dari negara itu yang menjanjikan derma berkenaan.

Menurut pihak pendakwaan bahawa salah laku di 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan Low dan beberapa yang lain, tetapi dengan restu Najib.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan tertuduh mendakwa Najib tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan Low, serta ahli pengurusan firma pelaburan yang lain, telah mendalangi penyelewengan tersebut. Pihak berkuasa masih cuba menjejaki Low dan beberapa yang lain untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

Dalam jawapannya kepada Akram, Yu berkata setiap jabatan berkenaan di dalam AmBank kemudiannya dimaklumkan mengenai jumlah wang yang besar yang mengalir masuk dan keluar dari akaun Najib.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-