Wednesday, February 22, 2023

DUN di enam negeri mungkin bubar serentak akhir Jun

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 22, 2023 9:13 PM
Enam negeri yang belum membubarkan dewan undangan negeri (DUN) masing-masing kini sedang melihat kemungkinan untuk melakukan hal tersebut pada separuh kedua Jun ini.

Kesepakatan mengenai tarikh itu dicapai dalam pertemuan menteri besar Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pada umumnya mereka sudah sepakat untuk melihat kemungkinan membubarkan DUN masing-masing pada minggu terakhir Jun.

"Persefahaman ini sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah untuk perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

"Semoga persefahaman ini dapat mempermudah usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, Insya-Allah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Langkah membubarkan DUN di enam negeri terbabit akan membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan menjelang tamatnya tempoh mandat yang diterima sejak 2018.

Semasa PRU ke-15 diadakan pada 19 Nov tahun lalu hanya Pahang, Perak dan Perlis turut membubarkan DUN masing-masing manakala enam negeri - semuanya ditadbir sama ada PH atau PN - enggan berbuat demikian.

Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor pula mengadakan PRN lebih awal.

Bergantung pada bila negeri terbabit mengadakan sidang DUN pertama selepas PRU ke-14, dalam keadaan semasa PRN mesti diadakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Terdapat perbincangan berterusan sejak Januari untuk mengadakan PRN secara serentak, antara lain akan memudahkan pelbagai pihak termasuk dari segi logistik.

Sebelum ini, pelbagai tarikh telah dicadangkan oleh setiap negeri.

Misalnya Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mencadangkan 1 Jun untuk pembubaran DUN, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pula menyebut 18 Jun, manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah mencadangkan pembubaran automatik pada 26 Jun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-