Sunday, February 26, 2023

Pekebun mahu harga lantai getah bukan naikkan IPG, kerajaan diberitahu

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou - 26 Feb 2023, 10:00am

Pekebun kecil getah berkata, harga lantai getah sekurang-kurangnya RM3 sekilogram dilihat mampu mengurangkan kos sara hidup mereka.
Kelmarin, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta bagi meringankan beban pekebun kecil getah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pekebun kecil getah mahu kerajaan menetapkan harga lantai getah, bukannya menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad, berkata pekebun sebenarnya mengharapkan penetapan harga lantai getah sekurang-kurangnya RM3 sekilogram yang dilihat lebih banyak memberi manfaat kepada mereka.

“IPG bukan harga lantai. Untuk IPG, pekebun kecil mesti membuat permohonan, ini bermaksud ada proses seterusnya. Misalnya, kalau harga getah itu berada bawah paras RM2.70, maka sistem IPG itu diaktifkan.

“Jadi ia bukan bersifat automatik. Kalau harga lantai kami fahamlah, itu harga minimum getah pekebun kecil inginkan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau bersyukur dengan pengumuman kerajaan meningkatkan IPG kerana ia membuktikan wujudnya komitmen kerajaan untuk mempertingkat kebajikan pekebun kecil getah.

Tambahnya, tempoh bantuan musim tengkujuh selama empat bulan perlu diteliti semula berikutan musim hujan dan panas sudah berubah ketika ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman, berpendapat pelarasan paras harga IPG dari RM2.50 ke RM2.70 sekilogram masih dianggap terlalu rendah pada masa ini.

Aktivis Felda itu berkata, sepatutnya ia dinaikkan kepada RM3.50 sekilogram seperti digesa NGO dan juga pekebun kecil sebelum itu.

“Dengan kos sara hidup mencanak naik, RM2.70 tidak lagi memadai,” katanya.

Kelmarin, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta bagi meringankan beban pekebun kecil getah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan, serta akan menyediakan RM50 juta untuk menggunakan Cuplump Modified Bitumin (CMB) bagi penyelenggaraan jalan.

Mulai Januari 2019, IPG diaktifkan sekiranya harga purata bulanan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang bagi getah sekerap berada di paras RM2.50 sekilogram ke bawah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-