Sunday, February 26, 2023

UMNO, Golkar sama tetapi tidak serupa

bharian.com.my
Oleh Andi Suwirta
bhrencana@bh.com.my
 - Februari 26, 2023 @ 8:22am
Gambar hiasan
Ramai pensyarah dan penyelidik, sama ada di Malaysia mahupun Indonesia yang menyatakan UMNO adalah sama dengan Parti Golkar. Kedua-dua parti itu memang pernah menjadi kekuatan politik arus perdana, tetapi sekarang ini, merudum dalam alam politik kontemporari di kedua-dua negara berjiran ini.

UMNO dan Golkar memang wujud persamaan dan perbezaan. Serupa dengan membincang Malaysia dan Indonesia sebagai negara-bangsa serumpun, maka memang ada persamaan, tetapi lagi banyak sangat perbezaannya. Menyentuh persamaan dan perbezaan ini sangat perlu bagi mendapatkan pemahaman betul dan mendalam.

UMNO ditubuhkan pada 1946, jauh sebelum Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, manakala Golkar ditubuhkan pada 1964, iaitu selepas Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945. Dalam konteks ini, UMNO lebih tua dan menjadi teras perjuangan kemerdekaan bagi sebuah negara-bangsa di Malaysia dibandingkan Golkar di Indonesia.

UMNO diasaskan 'Bapa Kemerdekaan' Malaysia, seperti Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj. UMNO adalah parti politik moderat, mahukan berunding dan bertolak-ansur untuk mencapai kemerdekaan apabila dibandingkan sama ada golongan radikal Melayu ataupun Parti Komunis Malaya (PKM) yang mahukan berjuang dengan 'darah dan air mata' atau jalan kekerasan untuk merebut kemerdekaan.

Golkar diasaskan bukan oleh 'Bapa Kemerdekaan' Indonesia, sebaliknya Kolonel Djuhartono, iaitu ahli Tentera Siliwangi daripada Jawa Barat yang membidankan kelahiran Golkar, terutama bagi menyokong kerajaan Presiden Sukarno dan mendepani cabaran Parti Komunis Indonesia (PKI) pada masa Demokrasi Terpimpin dekad 1960-an.

UMNO menerajui kerajaan di Malaysia sejak Merdeka pada 1957 hingga tewas dalam Pilihan Rakyat Umum (PRU) pada 2018. Kejayaan UMNO dalam setiap PRU melalui cara berperikatan dengan parti politik daripada bukan Melayu seperti MCA, MIC dan parti politik di Sarawak dan Sabah. Isu rasuah dan salah tadbir urus negara menjadi punca tewasnya UMNO dalam PRU 2018.

Golkar menerajui kerajaan di Indonesia pada masa Orde Baru antara 1968 hingga 1998, berjaya dalam setiap pemilihan umum (PEMILU) bermula 1971 hingga 1998, ekoran mendapat sokongan penuh ahli birokrasi atau kakitangan kerajaan dan Tentera Nasional Indonesia. Isu Korupsi, Kolusi, Nepotisme (KKN) pula menewaskan Golkar dalam setiap PEMILU selepas Orde Baru hingga zaman Orde Reformasi (1998 – sekarang).

Presiden UMNO selalunya menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak 1957 hingga 2018, sedangkan Ketua Umum Golkar belum pernah menjawat selaku Presiden Indonesia. Presiden Suharto bukanlah Ketua Umum Golkar, tetapi Ketua Dewan Pembina yang memang ada kuasa besar menentukan hala tuju dan corak politik daripada parti berkenaan.

Cabaran utama UMNO, Golkar

Walaupun sekarang UMNO dan Golkar bukan lagi selaku kekuatan politik arus perdana di Malaysia dan Indonesia, kedua-duanya kekal diambil kira sebagai parti politik kaya pengalaman dan kebolehan mentadbir urus kerajaan. Masyarakat pada peringkat akar umbi selalunya melihat jasa baik dan mengenang khidmat bakti daripada UMNO dan Golkar dalam perjalanan sejarahnya.

Pengerusi Golkar kerap bernostalgia bersabit kejayaan masa kerajaan Orde Baru dengan memasang gambar bekas Presiden Suharto (1921-2008), yang sedang tersenyum dan berkata dalam bahasa Jawa: "Kepenak Jamanku, toh?" (Lagi selesa dan bahagia masa kerajaan saya, bukan?)

Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kerap dipanggil dan ditegur sebagai 'Bani Ponorogo' daripada bangsa Jawa, memang ada keazaman pun untuk mengembalikan masa kegemilangan parti politik bagi bangsa Melayu di Malaysia.

Cabaran utama UMNO dan Golkar sekarang adalah sama, iaitu citra bersih bagi dua-dua parti politik bersabit amalan rasuah dan ketelusan dalam mentadbir urus negara. Seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim - hakikatnya tokoh UMNO juga dari 1982 hingga 1998 - bahawa masalah rasuah di Indonesia dan Malaysia adalah 'beza-beza sikit.' Rasuah di Indonesia mungkin di atas meja secara ketara, sedangkan rasuah di Malaysia selalunya di bawah meja secara senyap.

Natijahnya, sama ada rasuah itu di atas atau di bawah meja, ketara atau senyap, ia amalan buruk bakal diketahui ramai orang. Dasar dan amalan pimpinan UMNO dan Golkar untuk 'nyah rasuah' adalah kata kunci menjayakan kedua-dua parti politik yang sama tetapi berbeza itu untuk menerajui semula kerajaan di Malaysia dan Indonesia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sejarah Universiti Pendidikan Indonesia (UPI)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-