bharian.com.my
- Mac 21, 2023 @ 9:21pm
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali KJ menyimpulkan Datuk Seri Najib Razak masih berpengaruh kuat dan kekuatan itu menentukan masa depan parti terbabit.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, era Najib yang cukup sinonim dengan fenomena 'Bossku' dalam UMNO juga belum berakhir memandangkan ramai muka baharu menganggotai Majlis Tertinggi (MT) adalah kalangan penyokong tegar bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, walaupun Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal Presiden, Najib tetap mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang remeh.
"Datuk Ahmad Zahid memang kuat, tetapi kalau kita tengok dengan teliti dan sebagai contoh, barisan baharu dalam MT saya nampak ramai mereka sebenarnya kalangan penyokong tegar Bossku, Datuk Seri Najib Razak.
"Macam saya katakan tadi jangan pandang ringan, suara di belakang (di penjara), suara yang ada sekarang ini dan pengaruh suara itu menentukan masa depan UMNO," katanya dalam podcast 'Keluar Sekejap' yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Menurut Khairy yang ketika dalam Kabinet dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggalas peranan Menteri Kesihatan, berkata cerita mengenai 'Bossku' belum tamat.
"Saya rasa pendengar (podcast) ingin tahu tentang perancangan Bossku, tetapi yang boleh saya katakan, ia belum selesai lagi.
"Saya nak sebut dalam podcast 'Keluar Sekejap' mengenai pandangan saya dan pendengar pun tahu pandangan saya selepas kekalahan 2018 (PRU14) berkenaan Bossku, tetapi saya katakan, Bossku masih menjadi kekuatan yang perlu diambil kira," katanya.
Sambil itu, Khairy menamakan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil adalah bekas pegawai khas Najib dan Datuk Johan Abdul Aziz yang kalah di Parlimen Hulu Langat pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
"Mereka ini antara muka baharu MT dan mereka adalah penyokong Najib," katanya.
Khairy dipecat yang daripada UMNO pada Januari lalu, berkata, sementara Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta pada 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan yang disabitkan terhadapnya atas penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Sabitan beliau dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan Ogos lalu. Belaiu kini sedang menjalani hukuman di penjara Kajang.
Walaupun begitu, Khairy berkata Najib kekal sebagai pemimpin popular dan menyatakan banyak mesej terima kasih ditujukan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu minggu lalu apabila laluan MRT Putrajaya yang dicadangkan Najib ketika berkuasa beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lalu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.