Monday, March 13, 2023

Petronas untung bersih RM101.6 bilion bagi 2022 [METROTV]

hmetro.com.my
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Petronas terus merekodkan prestasi kukuh apabila berjaya mencapai peningkatan keuntungan bersih sebanyak RM101.6 bilion kenaikan 100 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY2022) berbanding RM50.9 bilion tahun sebelumnya, disokong dengan kesan harga lebih baik bagi produk utama seiring dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

Petronas turut mencatatkan peningkatan 51 peratus pendapatannya kepada RM375.3 bilion bagi 2022 berbanding RM248 bilion tahun kewangan 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, tenaga kerja Petronas terus dipacu oleh tujuan kumpulan untuk menjadi rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang mempertingkatkan kualiti kehidupan demi masa depan mampan.

Katanya, ketahanan mereka membolehkan kumpulan mencapai prestasi yang kukuh pada 2022.

"Tahun 2022 membolehkan kami untuk memanfaatkan lonjakan minyak dan gas, tahun lalu juga memberikan isyarat ketidaktentuan terhadap permintaan-bekalan yang didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran serta peralihan tenaga yang dipercepatkan.

"Walaupun kami maju dengan kedudukan yang lebih kukuh, Petronas akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadu kami dengan tumpuan yang lebih memfokuskan kepada kecemerlangan komersial dan operasi.

"Kumpulan akan memberi tumpuan kepada penyampaian strategi pertumbuhan tiga serampang serta aspirasi Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 secara berdisiplin termasuklah pengurusan komitmen kewangan dan obligasi hutang secara berhemat.

"Petronas tidak mempunyai pilihan selain untuk mengukuhkan masa depan kumpulan bagi mengekalkan keupayaan kami dalam menyampaikan nilai jangka panjang yang mampan sebagai syarikat minyak nasional dan pemain tenaga global.

"Untuk tujuan ini, Petronas perlu kekal teguh dalam menyediakan tenaga yang selamat, mampu milik dan boleh capai ke arah memartabatkan masyarakat dan menyokong negara bagi mencapai sifar bersih," katanya pada sidang media pengumuman keputusan tahun kewangan suku keempat dan 2022 Petronas di sini, hari ini.

Beliau berkata, meskipun berlakunya ketidaktentuan berpanjangan yang dilihat dalam pasaran sepanjang 2022, melangkah ke hadapan Petronas akan terus melaksanakan pengurusan kewangan yang berhemat dan disiplin yang tegas dalam melabur semula untuk menyediakan keselamatan tenaga yang diperlukan serta untuk peralihan yang adil dan bertanggungjawab.

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) turut naik kepada RM170.7 bilion disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi, manakala aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berada pada jumlah RM135.3 bilion dan pelaburan modal (Capex) adalah sebanyak RM50.1 bilion, disumbangkan oleh projek huluan dan hiliran.

Setakat 31 Disember 2022, jumlah aset keseluruhan syarikat minyak dan gas nasional itu diperkukuhkan kepada RM710.6 bilion.

Disiarkan pada: Mac 13, 2023 @ 5:00pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-