Saturday, March 18, 2023

'Ramai kata UMNO malap, tapi...'

bharian.com.my
Muhamad Lokman Khairi
bhnews@bh.com.my
 Mac 18, 2023 @ 2:25pm

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemui pemberita pada Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan UMNO Bahagian Bagan Datuk, hari ini. - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berharap keputusan dibuat perwakilan UMNO seluruh negara dalam memilih pucuk pimpinan parti di peringkat nasional dan bahagian hari ini akan menjadi pengorak langkah 'UMNO Bangkit 2.0'.

Sehubungan itu, Presiden UMNO mengingatkan pemimpin dipilih menerusi keputusan yang dibuat perwakilan, bukan sahaja bagi peringkat pusat, malah peringkat negeri dan bahagian, perlu bergerak seiring dan bekerja sebagai satu pasukan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

"Sama ada tokoh-tokoh itu dikenali atau pun sedang dikenali atau tidak dikenali langsung, UMNO sangat demokratik. Kaedah untuk menjadi calon (bertanding jawatan) hanya perlu mendaftarkan diri dan setelah cukup tempoh, layak mereka sebagai calon.

"Apa yang saya harapkan, keputusan yang dibuat di 189 bahagian, akan menjadi satu langkah untuk UMNO Bangkit 2.0," kata Timbalan Perdana Menteri ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian berkenaan, berkata situasi ramai ahli mencalonkan diri bagi pemilihan kali ini juga membuktikan demokrasi diraikan dalam UMNO walaupun banyak pihak mendakwa parti berkenaan sedang mengalami zaman kemalapan.

"Pada pengamatan saya, kemeriahan demokrasi sedang berjalan dalam UMNO. Walaupun terdapat pihak yang mendakwa parti ini mengalami kemalapan, ramai mahu menaruh diri (bertanding jawatan).

"Terdapat 95 calon ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), yang akan dipilih 25 orang. Terdapat lapan calon naib presiden, 10 calon timbalan pengerusi tetap dan dua calon pengerusi tetap, kita hanya pilih seorang," katanya.

Jawatan Naib Presiden UMNO memperuntukkan tiga kerusi, manakala jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap memperuntukkan satu kerusi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut berharap penyusunan semula jentera parti selepas selesai pemilihan kepemimpinan baharu, bakal membawa UMNO keluar dari kepompong konvensional kepada pendigitalan bagi meraih sokongan pengundi termasuk pengundi baharu.

"Kita sedang jalin hubungan dengan NGO (badan bukan kerajaan) Melayu dan bukan Melayu serta beberapa langkah lain bagi mendokong cita-cita mengukuhkan parti serta menggamit semula sokongan rakyat, khasnya pengundi baharu," katanya.

Sambil meminta Ahli MKT yang dipilih dapat memperkukuh parti, Presiden UMNO berkata, beliau meraikan perbezaan pandangan dan pendapat, tetapi berharap tidak ada yang berbeza pendirian apabila parti membuat keputusan, terutama keputusan besar.

"Harapan saya agar kita pilih calon-calon yang terbaik dalam kalangan yang terbaik, agar kita tidak tersalah pilih kali ini. Kini kita berada dalam Kerajaan Perpaduan dan kita mendukung cita-cita Malaysia MADANI dan kita sebahagian daripada kerajaan," katanya.

Beliau menegaskan, keserasian di antara UMNO dan BN bersama parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan hendaklah terjamin, bukan sahaja di peringkat nasional, malah perlu juga sehingga peringkat lokaliti, negeri, kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Malah yang penting di peringkat PDM (pusat daerah mengundi) dan lokaliti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-