Friday, May 12, 2023

Lantikan politik, Pemuda UMNO pula kritik Mat Sabu

agendaily.com
12/05/2023
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Selepas dikritik rakan seangkatannya dari PKR berkait keputusan lantikan lima pengerusi badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan yang diterajuinya, Datuk Seri Mohamad Sabu sekali lagi dikritik sekutunya dalam soal sama.

Kritikan terbaharu datang dari Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menuntut Presiden Amanah itu menarik balik lantikan tersebut.

Tegas Akmal, lantikan tersebut perlu diteliti semula susulan bercanggah dengan pendirian reformasi yang diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menentang amalan lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Walaupun itu hak prerogatif menteri seperti kita sedia maklum tetapi kena diambil kira prinsip yang kerajaan pegang dan janjikan.

“Saya minta perdana menteri lihat semula prinsip yang ditetapkan itu dan teruskan berpegang kepada prinsip berkenaan serta tunaikan apa yang dijanjikan.

“Kalau ia tidak dikotakan, saya risau rakyat akan mula benci, muak dan mereka tak mahu lagi ambil tahu hal politik negara,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian.

Tambahnya, teguran itu perlu dibuat oleh pihaknya kerana menyedari lantikan politik itu sesuatu yang salah dan perlu dibetulkan.

Katanya, semua ahli politik tanpa mengira bendera perlu menunaikan janji yang sudah dibuat agar rakyat tidak muak dengan ahli politik.

“Kalau rakyat berasa demikian terhadap kerajaan, maka ini isu serius dan membahayakan,” katanya.

Hari ini, Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim meluahkan kebimbangannya terhadap keyakinan rakyat selepas melihat tindak-tanduk pemimpin kerajaan hari ini yang jelas tiada beza dengan pentadbiran sebelum ini.

Beliau khuatir agenda PH dalam reformasi politik dan kerajaan akan lenyap jika Anwar tidak mengekang lantikan politik selanjutnya.

Rabu lalu, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah bagi Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli juga dari Amanah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Turut dilantik adalah bekas exco Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dari DAP sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan bekas ahli Parlimen PKR bagi Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Semalam Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Jumaat lalu, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang berada dalam barisan kerajaan dilantik sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-