Monday, May 1, 2023

Salahkah Khalid Samad mempertahankan integriti sehingga UMNO koyak?

agendaily.com
01/05/2023

Khalid Samad dikecam pemimpin UMNO kerana tidak menyokong pengampunan Najib.
Seperti dijangkakan, Khalid Samad menjadi sasaran kecaman pemimpin UMNO susulan kenyataannya baru-baru ini berhubung isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Nampaknya kenyataan Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah menimbulkan reaksi kurang senang dikalangan pemimpin UMNO yang sedang berjuang untuk membebaskan Najib menerusi proses pengampunan.

Walaupun kenyataan Khalid itu hanya mahu memperjuangkan prinsip integriti yang selama ini dipegang pemimpin Pakatan Harapan (PH), namun perkara itu dilihat tidak seiring dengan rakan parti dalam kerajaan campuran khususnya UMNO.

Umum mengetahui, UMNO sudah membuat permohonan secara rasmi untuk mendapatkan pengampunan kepada bekas Perdana Menteri yang sedang meringkuk dalam penjara atas sabitan mencuri wang SRC International Sdn Bhd.

Langkah untuk mendapatkan pengampunan Najib itu dibuat walaupun tidak sampai setahun berada dalam penjara dan boleh disifatkan terlalu pra-matang kerana UMNO baharu sahaja bersama PH dalam kerajaan campuran.

Pada kaca mata umum, kemasukan UMNO dalam membentuk kerajaan campuran bersama PH hanya semata-mata demi kepentingan peribadi segelintir pemimpin mereka khususnya mereka yang sedang terpalit dengan kes mahkamah dan sedang berada dalam penjara ketika ini.

Tindak-tanduk UMNO dengan beberapa pendirian yang dibuat kebelakangan ini dilihat seakan-akan kemasukan dalam kerajaan bersama PH bertujuan untuk mempergunakan kedudukan kuasa yang dimiliki untuk menyelamatkan pemimpin parti mereka sahaja ketika ini.

Satu persatu tindakan dibuat UMNO ketika ini dilihat membelakangi prinsip integriti dan ketelusan yang selama ini menjadi teras parti dalam PH dan seakan-akan PKR, DAP dan Amanah terpaksa mengikut telunjuk parti yang paling sedikit mempunyai kerusi dalam kerajaan campuran.

Walaupun dilihat tidak bersetuju dengan tindakan dibuat UMNO, namun parti dalam PH terpaksa menelan setiap keputusan dibuat dengan pahit meskipun kurang bersetuju.

Kenyataan dikeluarkan oleh Khalid baru-baru ini dilihat sebagai pencetus kepada ketakpuashatian dikalangan parti dalam PH yang dilihat tidak senang dengan tindak-tanduk UMNO dalam kerajaan.

Daripada permohonan pengampunan Najib sehingga ke kes perbicaraan melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semua perkara ini dilihat akan memberi kesan buruk kepada sokongan rakyat terhadap PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Khalid yang mahu mempertahankan integriti parti dalam PH pula dianggap sebagai punca perpecahan keharmonian di dalam kerajaan campuran.

Adakah salah apabila Khalid bercakap kebenaran sehingga menyebabkan pemimpin UMNO melantun dan membidas Amanah dengan pelbagai kecaman.

Bibit perpecahan dalam kerajaan sudah timbul sejak sebelum kenyataan Khalid lagi, ia bermula dengan kenyataan Na­ib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari berhubung peranan UMNO menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas.

Malah kata Aziz lagi, UMNO dilihat hanya menum­pang kekuatan Pakatan Harapan (PH) kerana kelangsungan parti itu semakin pudar.

Kenyataan Aziz tersebut mempunyai asasnya apabila UMNO gagal memperoleh jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, malah hilang lebih banyak kerusi berbanding dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Keberadaan UMNO dalam kerajaan campuran ketika ini pun hanya atas ihsan, malah sekalipun tanpa UMNO sekalipun kerajaan sekarang dapat dibentuk kerana sudah memiliki majoriti dua pertiga.

Bagaimanapun, UMNO tidak melihat keberadaan mereka dalam kerajaan campuran hanya sekadar menumpang dan mahu menjadi dominan.

UMNO perlu sedar kedudukan mereka bukan lagi seperti dahulu, mereka kini hanya sekadar penumpang dalam kerajaan campuran dan semestinya tidak boleh melebih-lebih dalam sebarang keputusan.

Tidak semua parti dalam PH yang senang melihat UMNO diangkat sebagai anak emas dalam kerajaan campuran, ia pasti timbul rasa iri hati dikalangan pemimpin lain dalam kerajaan apabila UMNO lebih dimanja dan dibelai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berbalik kepada isu kenyataan Khalid baru-baru ini, ia sangat mengecewakan apabila tidak ada seorang pemimpin Amanah yang berani mempertahankan bekas Ahli Parlimen Shah Alam tersebut.

Adakah pendirian Khalid dalam mempertahankan integriti kini dipandang hina pula oleh pemimpin PH sendiri, walhal bukankah selama ini mereka yang memperjuangkan agar Najib dibicarakan sehingga masuk ke dalam penjara?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-