satuberita.my
By SatuBerita-May 11, 2023
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
UMNO kini sudah menjadi pengemis politik dan parti itu diibaratkan “hidup segan mati tak mahu”, kata Khairy Jamaluddin.
Bekas ahli Parlimen Rembau itu berkata, masa depan UMNO sangat malap selepas kehilangan sokongan Melayu yang merupakan tunjang kekuatan parti itu dan perlu bergantung kepada ihsan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal hidup.
Katanya, dengan kepimpinan sedia ada, parti Melayu itu akan terus hidup tetapi tidak secara “segar dan bermaruah”.
“Walaupun dengan kepimpinan yang sedia ada, UMNO akan hidup, tapi dia hidup segan mati tak mahu. Dia tidak hidup segar dan bermaruah, dan dia juga tidak mati, tapi dia jadi parti yang sangat-sangat lemah dan mungkin kekal menjadi pilihan ketiga orang Melayu.
“Dia (UMNO) juga tidak mati, tapi jadi parti yang sangat lemah dan mungkin kekal jadi pilihan ketiga orang Melayu,” katanya dalam temu bual bersama saluran berita Singapura, Mediacorp.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas menteri kesihatan, melihat UMNO sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) dan usaha sama yang terjalin antara kedua-dua pihak itu akan menjejaskan lagi sokongan Melayu terhadap parti terbabit.
Katanya, situasi ini akan memanfaatkan Perikatan Nasional (PN) yang mana ramai dalam kalangan penyokong dan pengundi UMNO akan beralih ke gabungan parti politik baru tersebut.
“Persoalan besar adalah sama ada pengundi UMNO nak bagi (undi) kepada UMNO-PH atau PN.
“Saya rasa kini 50% daripada pengundi UMNO akan beri sokongan kepada PN, mereka tak sanggup bagi kepada UMNO atau PH,” katanya menurut Malaysianow.
Mengulas mengenai jangkaan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Khairy menjangkakan UMNO atau PH sukar untuk meraih keputusan baik di negeri-negeri yang sedang ditadbir PAS-PN.
Katanya, perhatian utama pada PRN kali ini ialah untuk melihat sejauh mana pengaruh PN akan berkembang di negeri yang ditadbir PH.
“Dan inilah yang disebutkan gelombang, bukan gelombang hijau tetapi gelombang PN.
“Yang menarik ialah sejauh mana PN dapat meneruskan gelombang tersebut ke Selangor.
“Jika mereka berjaya kembangkan pengaruh dan sokongan mereka di Selangor, maksudnya mereka bukan lagi parti semata-mata di kubu kuat Melayu,” tambah beliau.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November tahun lepas, PN membuat kejutan di Selangor apabila gabungan parti politik itu bukan saja merampas semua kerusi Parlimen BN tetapi juga tiga kerusi milik PH iaitu Hulu Selangor, Kapar dan Kuala Langat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.