By Admin
-June 2, 2023
Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menganggap Datuk Seri Anwar Ibrahim kini bergayut pada ranting yang patah kerana terlalu bergantung kepada UMNO untuk mendapat sokongan Melayu.
Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu melihat Anwar yang juga Perdana Menteri seperti terlalu taksud dengan UMNO.
“Jika Anwar Ibrahim semacam taksub kepada UMNO sehingga susuk seperti Lokman Noor Adam pun layak dilantik menjadi jurubicara politik Kerajaan Perpaduan, lalu tidak hairanlah jika ada orang yang mengingatkan kata pepatah, adakah Anwar seperti ‘belut pulang ke lumpur’?
“Bagaimanakah nasib PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan gabungan Pakatan Harapan yang mengibarkan panji-panji parti pelbagai kaum selama ini? Adakah semua boleh dipajak-gadaikan,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PKR yang merupakan parti pelbagai kaum manakala DAP didominasi orang Cina terpaksa menerima hakikat faktor Melayu begitu penting untuk survival politik mereka.
Katanya, Anwar secara individu selaku Perdana Menteri mungkin lebih popular berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ataupun Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun katanya, PH yang diketuai Anwar masih tidak mempunyai cukup sokongan pengundi Melayu sekiranya tanpa sokongan daripada UMNO.
Hassan berkata, UMNO pula sekarang ini di bawah pimpinan Ahmad Zahid bukan parti sama pada zaman pimpinan Tunku Abdul Rahman ataupun Tun Abdul Razak.
Dakwanya, Ahmad Zahid tidak mampu memperjuangkan nasib orang Melayu, apatah lagi untuk melindungi mereka kerana nasib Presiden UMNO itu sekarang di mahkamah pun masih belum pasti sama ada bebas atau masuk ke penjara seperti dialami Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, pada Pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti, BN dan PH mungkin mempertaruhkan naratif kerajaan Madani manakala Perikatan Nasional (PN) pula akan mengemukakan perjuangan Melayu dan Islam.
“Gandingan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Hadi Awang dari Pas dan kini ditambah oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengemukakan naratif nasional mereka iaitu Melayu dan Islam sebagai panji-panji perjuangan mereka. Jadi apa pula panji-panji perjuangan Anwar Ibrahim serta Zahid Hamidi dengan pemimpin 19 parti komponen kerajaan perpaduan?
“Mungkinkah naratif nasional kerajaan perpaduan ialah Malaysia Madani? Kalau jawapannya Ya, maka daripada segi politik adakah falsafah
Malaysia Madani dapat memberi saingan kepada naratif Melayu Islam yang dibawa oleh Perikatan Nasional dan mungkin ditambah perisanya dengan Proklamasi Orang Melayu dari Dr Mahathir Mohamad?
“Nampaknya menjelang PRN di enam buah negeri beberapa bulan lagi dan PRU-16 empat tahun lagi akan mengwujudkan pertembungan antara dua blok politik yang dominan sekarang iaitu blok kerajaan perpaduan Malaysia Madani dengan blok pembangkang Melayu Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.