By Editor
-05/06/2023
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan menggunakan konsep ‘WALI’ bagi memilih calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata tidak mustahil elemen WALI yang didasari oleh BN akan turut digunakan dalam pemilihan calon PRN yang merujuk kepada boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata konsep itu sesuai digunakan dalam PRN akan datang.
“Kita akan menggunakan prinsip yang sama iaitu calon ‘WALI’ atau ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’.
Tiga elemen ini penting untuk PRN enam negeri ini walaupun hanya membabitkan negeri tetapi ia adalah manifestasi untuk penerimaan pengundi kepada kerajaan Malaysia Madani hari ini.
“Saya fikir sesuai untuk semua calon dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya selepas majlis perasmian bangunan baharu UMNO Bahagian Batu, di sini malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, UMNO sudah mengumpulkan hasil perbincangan di antara pengerusi-pengerusi parti gabungan Kerajaan Perpaduan untuk memuktamadkan pemilihan calon.
“Insya-Allah sebelum pembubaran, kita akan memuktamadkan pemilihan calon ini dan selepas pembubaran kita akan menentukan calon dari parti masing-masing,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata ahli dan pemimpin UMNO perlu istiqamah dalam perjuangan untuk memantapkan parti walaupun pemimpin boleh datang dan pergi.
Katanya, setiap pemimpin perlu istiqamah dalam perjuangan mempertahankan parti untuk ia berdaya tahan demi kesinambungan kepimpinan.
“Pemimpin akan datang dan pergi tetapi UMNO perlu diperkukuhkan bukan sahaja di bahagian Batu, tetapi di seluruh negara. Paling penting adalah untuk kepimpinan lama bekerjasama (dengan kepimpinan baharu) memperkukuhkan UMNO,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.