Saturday, September 16, 2023

Bekalan makin kurang, pengguna 'borong' beras untuk simpan

hmetro.com.my
Johary Indan
am@hmetro.com.my
RAK meletakkan beras tempatan kosong di sebuah pasar raya mini di Tamparuli.
FOTO Johary Indan

Tuaran: Bukan sahaja beras tempatan tiada dalam pasaran di daerah ini sejak hampir dua minggu lalu, bekalan beras import juga semakin berkurangan menyebabkan pengguna terpaksa membeli pada harga tinggi.

Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya di Tuaran dan Tamparuli mendapati ekoran kenaikan harga barangan itu, pengguna membuat pembelian beras pada jumlah luar jangka untuk dijadikan simpanan sehingga beberapa bulan mengelakkan harga tinggi.

Pekerja kedai runcit di Tuaran, Richard James, 41, berkata tindakan pengguna membeli beras berlebihan secara mengejut itu menyebabkan bekalan beras tempat di pasaran habis mendadak.

"Memandangkan pembelian beras tiada had, maka kami tidak boleh halang pengguna membeli bahan pada jumlah banyak.

"Tindakan itu yang menyebabkan bekalan beras tempatan cepat habis, manakala bekalan baharu pula lewat dihantar pembekal," katanya di sini hari ini.

Peniaga di Tamparuli, Hasnah Hasan, 47, turut mengakui bekalan beras tempatan sukar diperoleh pada pasaran daerah itu sejak hampir dua minggu lalu.

"Selain itu, bekalan beras import juga semakin berkurangan apabila bekalan baharu tidak sampai," katanya.

Beliau berkata, peniaga menjual semua jenis beras sama tempatan atau import mengikut harga ditetapkan kerajaan.

"Peniaga tidak boleh meletakkan harga sewenang-wenangnya pada beras kerana bahan makanan utama itu dikawal selia harganya oleh kerajaan," katanya.

Hasnah berkata, tidak timbul perbuatan peniaga menyorok bekalan beras sehingga menyebabkan stok bahan makanan itu hampir habis di pasaran.

Dalam perkembangan berkaitan, bekalan minyak masak paket satu kilogram turut sukar diperoleh di Tuaran dan Tamparuli sejak tiga hari lalu.

Peniaga mendakwa ketiadaan bekalan minyak masak paket di pasaran itu berpunca kelewatan pembekal menghantar bekalan baharu kepada kedai.

Disiarkan pada: September 16, 2023 @ 5:13pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-