Sunday, September 3, 2023

DAP mesti tinggalkan ‘Malaysian Malaysia’ jika benar junjung Perlembagaan

ismaweb.net
Siti Hafidah
03/09/2023

Pejuang kemerdekaan dulu tolak asimilasi pilih integrasi kaum bina negara
BANGI, 17 Safar 1445H, Ahad – DAP perlu meninggalkan perjuangan Malaysian Malaysia sekiranya parti itu benar-benar menjunjung Perlembagaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, kenyataan pemimpin DAP bahawa mereka menjunjung Perlembagaan namun masih memperjuangkan Malaysian Malaysia suatu perkara yang bercanggah.

Ini kerana katanya, ideologi Malaysian Malaysia adalah tidak selari dengan Perlembagaan Malaysia.

“Perlembagaan Malaysia melindungi hak keistimewaan orang-orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu.

“Sebaliknya dalam Malaysian Malaysia tiada keistimewaan-keistimewaan ini malah ideologi ini menentang keistimewaan-keistimewaan ini, sebagaimana tiada keistimewaan orang-orang Melayu dan tiada Raja-raja Melayu di Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Isham berkata, pejuang kemerdekaan dahulu menolak asimilasi kaum sebaliknya memilih untuk membina negara dengan integrasi kaum.

Jelasnya, dengan integrasi kaum setiap kaum boleh mengekalkan cara hidup dan adat resam mereka sendiri tanpa diasimilasi dan hidup bersama dengan harmoni.

“Dahulu orang-orang Melayu dan UMNO telah bangkit menentang Malayan Union atau ‘Perpaduan Malaya’ dan kita telah berjaya mencapai kemerdekaan. Kemudian kita telah bangkit menentang asimilasi ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) walaupun itu menyebabkan perpisahan kita dengan Singapura.

“Kita memperjuangkan integrasi kaum, menjunjung Perlembagaan dan menolak asimilasi Malaysian Malaysia,” katanya.

Rentetan itu, beliau menegaskan, rakyat yang ingin hidup secara harmoni dan pada masa sama mengekalkan adat resam, budaya dan cara hidup etnik mereka perlu menolak asimilasi Malaysian Malaysia ini.

“Ini termasuklah DAP jika mereka benar-benar mahu menjunjung Perlembagaan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ seperti didesak sesetengah pihak.

Menurutnya, prinsip itu juga telah dijelaskan dan dipersetujui secara bersama sebelum Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk sebelum ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-