Saturday, September 2, 2023

Isu kerjasama UMNO-DAP buat akar umbi berterusan beralih hati

bharian.com.my
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
bhnews@bh.com.my
 - September 2, 2023 @ 2:57pm
KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin UMNO yang memberi gambaran atau persepsi positif terhadap DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram tidak mudah memikat 'hati' penyokong parti itu untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan menjangka peralihan undi oleh pengundi atau penyokong UMNO yang tercetus semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini kepada Perikatan Nasional (PN) akan berlaku lagi dalam PRK Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai.

"Mereka melihat UMNO tidak mampu menangani isu dominan DAP dalam Kerajaan Persekutuan. Ini menyebabkan (pengundi UMNO) beralih 'hati'.

"Alternatif mereka adalah PAS dan pengundi UMNO tidak akan berasa bersalah mengundi calon PAS serta tidak mengundi calon AMANAH dalam kes ini," katanya.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin UMNO yang memberikan persepsi positif terhadap DAP bagi menarik pengundi parti itu untuk mengundi calon PH dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram.

Turut sependapat, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, yang menyatakan tidak ada jaminan penjelasan dibuat oleh pemimpin UMNO dalam memberikan persepsi positif terhadap DAP akan menambat hati penyokong mereka mengundi calon PH.

"Ini bergantung kepada sejauh mana penjelasan itu dapat diterima sepenuhnya atau diterima sebahagiannya.

"Yang penting, penjelasan itu perlu diberikan secara menyeluruh dan perlu ditembusi di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

"Sejauh mana luasnya pencerahan itu, ia bergantung kepada gerak kerja yang ada. Tapi setakat ini, belum ada jaminan untuk mampu menambat 'hati' penyokong UMNO," katanya.

Awang Azman turut berpendapat pemimpin UMNO perlu kerap 'turun ke bawah' bagi menjelaskan mesej dan rasional kerjasama antara UMNO dengan PH supaya ia dapat difahami oleh akar umbi parti.

"Ramai yang keliru, tidak faham dan maklumat yang mereka terima itu tidak dikemaskini. Jadi, ia perlu dijelaskan kepada akar umbi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-