Saturday, September 2, 2023

Jangan bagi pelampau kuasai negara - Mat Sabu

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Sep 2, 2023 9:15 AM
Perpaduan yang dibina di negara ini perlu terus utuh agar sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama dapat dielakkan.

Justeru, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata kemenangan wakil calon kerajaan perpaduan dalam dua pilihan raya kecil (PRK) pada 9 September ini disifatkan sebagai penting.

Tegas Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ia juga bagi menyekat kemaraan puak pelampau agama dan kaum.

“Kemenangan calon wakil kerajaan ini penting kerana kita tidak mahu golongan pelampau kaum atau pelampau agama menguasai keadaan (pentadbiran kerajaan).

“Kita lihat di beberapa negara Islam lain yang telah musnah dan hancur hingga mengakibat rakyatnya susah dan miskin, porak peranda dan sebagainya.

“Kita tidak mahu adu domba luar, sebaliknya kita bina perpaduan antara kaum ini antaranya melalui kerajaan perpaduan yang ada hari ini,” katanya ketika berucap dalam ceramah Pakatan Harapan di Wisma DAP Muar, Taman Sakeh Baru, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin.

Isu kaum bukan masalah negara

Sementara itu, ketika berucap di pentas yang sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan soal hubungan antara kaum kini bukanlah menjadi masalah kepada negara.

Sebaliknya Loke berkata masalah yang dihadapi negara ketika ini adalah politik daripada puak pelampau.

“Hari ini kita punya isu bukan isu perkauman, bukan isu antara Melayu dengan Cina atau India.

“Hari ini masalahnya bukan soal hubungan antara kaum antara Melayu, Cina dan India tetapi masalah kita ialah ada puak-puak yang mengamalkan politik melampau, politik ekstrem, yang akan memecah belahkan negara kita ini,” katanya.
Justeru, Loke mengingatkan pihak yang cenderung memainkan isu berbaur 3R (raja, agama dan kaum) tidak mengadu domba soal kaum di negara ini.

“Tak payah bermusuhan di antara satu sama lain, kita tiada masalah untuk duduk bersama. Melayu, Cina dan Iindia duduk bersama berpuluh tahun tiada menjadi masalah

“Cina bukan musuh kepada Melayu dan Melayu juga bukan musuh kepada orang India dan Cina, kita sama-sama rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi memastikan perpaduan yang ada di negara ini kekal utuh Loke mengingatkan pentingnya untuk pengundi di dua kawasan pilihan raya kali ini iaitu di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram untuk keluar mengundi.

“Undi pada 9 September ini bukan saja memilih seorang wakil rakyat, memilih seorang wakil rakyat adalah tanggungjawab tetapi apa yang lebih penting adalah memilih hala tuju negara.

“Kita hanya ada satu pilihan iaitu memilih untuk memastikan negara kita terus bersatu padu mengamalkan politik bekerjasama, berbilang kaum, satu masyarakat majmuk adalah pilihan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Mengundi bagi hala tuju negara

Tambah Loke, pengundi juga perlu keluar mengundi bagi memilih hala tuju negara.

“Jalan ekstrem bukan pilihan kita, jalan (pemikiran) sempit bukan pilihan kita. Politik perkauman bukan pilihan kita, kita hanya ada satu pilihan iaitu menjayakan projek perpaduan ini, menjayakan kerajaan perpaduan bermaksud menjayakan masyarakat majmuk di negara kita.

“Jadi PRK kali ini ialah nak memastikan bahawa hala tuju politik negara kekal politik sederhana, kekal politik pelbagai kaum kerana PH bersama dengan BN kita punya politik adalah pelbagai kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agong Amanah Hatta Ramli menyatakan keyakinannya bahawa dengan kemenangan calon wakil kerajaan dalam dua PRK kali ini akan dapat menutup mulut pembangkang yang berusaha mahu menghancurkan demokrasi dan kerajaan yang ada hari ini.
“Kerja mereka tak lain adalah nak jatuhkan kerajaan. Kita baru nak mula bangun semula selepas pelbagai episod dalam negara, kita baru nak bentuk kerajaan, baru sembilan bulan (mentadbir) diganggu tanpa henti.

“Tetapi percayalah kalau kita menangkan saudara Nazri Abdul Rahman di Simpang Jeram dan Suhaizan Kayat di Pulai, kita akan tutup mulut pembangkang-pembangkang ini.

“Mereka tidak lagi boleh mengatakan mereka mahu jatuhkan kerajaan,” katanya.

Jelas Hatta, usaha berterusan pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada juga adalah satu kesalahan politik yang sepatutnya tidak boleh dibenarkan.

“Kita tak boleh jatuhkan kerajaan melainkan melalui pilihan raya, bukan sepanjang masa. Kalau begitu kita tidak akan berhenti berlawan. Jadi kita perlu bersatu, kita nak perpaduan dan inilah kerajaan perpaduan yang telah dibina.

“Biar kita mentadbir, cukup lima tahun kemudian buat penilaian. Kita bebas untuk memilih sekali lagi untuk lima tahun akan datang.

“Nak bawa Abdul Hadi ke Muhyiddin Yassin ke …tetapi biarkan kerajaan sedia ada laksanakan tanggungjawabnya dan kita nilai kemudian,” tegasnya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandang kedua-dua kerusi tersebut Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini, masing-masing bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Bagi Parlimen Pulai, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan dari PH akan berdepan dengan Zulkifli Jaafar dari PN dan Samsudin Mohamad Fauzi, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kunci.

Di Simpang Jeram, Nazri yang merupakan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri bersaing dengan calon PN iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan, S Jeganathan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-