Sunday, October 22, 2023

PAS mesti jadi pemain utama tentukan hala tuju negara

harakahdaily.com
22/10/2023

Sasar kuasai pula Perak atau Pahang atau keduanya

SHAH ALAM: PAS kini bergerak ke arah menguasai medan politik baharu seterusnya menjadi pemain politik utama yang menentukan hala tuju negara, demikian kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhamad Sanusi Md Nor.

PAS katanya, telah berada di arus perdana politik Malaysia pada ketika ini dan telah menjadi ‘king maker’ di mana diambil kira dalam semua keputusan politik dan cabaran yang ada, selain mentadbir empat negeri.

Untuk itu katanya, langkah-langkah politik diambil perlu sentiasa diberi pertimbangan bersesuaian dengan keadaan semasa pada ketika ini agar ia tidak membosankan sebaliknya PAS kekal sebagai parti politik yang organik.

“Yang boleh menawan, menakluki, memasuki market pengundi muda yang tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik, tetapi memiliki kuasa undi yang sama banyak dengan ahli-ahli politik yang telah menyertai parti-parti politik.

“Inilah market yang perlu dikuasai oleh PAS dalam perjalanan politik kita pada masa depan kerana hampir seratus-peratus market tradisi PAS di masjid, di surau, di sekolah agama, di tempat-tempat dilahirkan para asatizah telah habis kesemuanya dibolot oleh PAS.

“Pasaran yang berikutnya ialah PAS perlu melangkah ke pagar sebelah, pagar depan dan pagar belakang, pagar kiri dan pagar kanan untuk kuasai medan baru politik PAS. Oleh yang demikian PAS mesti mempelbagaikan langkah-langkah politik.

“Tidak lagi terkurung dalam strategi tradisi PAS,” ujar beliau yang juga Menteri Besar Kedah pada sesi ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69 di IDCC Shah Alam, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, menerusi empat negeri ditadbir, PAS mesti merangka di bergerak maju ke satu tahap lagi iaitulah sekurang-kurangnya menguasai satu lagi negeri iaitu sama ada Perak atau Pahang ataupun kedua-duanya sekali gus.

“Untuk meningkatkan lagi jumlah kerusi PAS di Parlimen dan di DUN pesanan untuk wakil-wakil rakyat yang telah diberi amanah memenangi supaya tidak membelakangkan parti, tidak meninggalkan keputusan-keputusan parti di peringkat kawasan.

“Kerana sering yang terjadi dalam pengalaman saya yang tidaklah panjang sangat tapi tidaklah pendek; berlaku pertelingkahan, perselisihan antara pusat khidmat wakil rakyat dengan PAS kawasan dan dewan-dewan.

“Yang ni perlu diselesaikan dan perlu dibuat penyelarasan supaya tidak bertembung kerana kedua-dua entiti ataupun institusi dalam PAS ini adalah bekerja untuk memenangkan PAS dalam pilihan raya akan datang,” nasihatnya.

ADUN Jeneri itu turut mengingatkan PAS Kawasan dan PAS Negeri supaya jangan meninggalkan wakil rakyat bersendirian atau berseorangan mengatur langkah, sebaliknya kedua-dua pihak saling menjadi satu institusi.

Katanya, penyelarasan kerja-kerja lapangan, memperkasakan pusat khidmat dan sebagainya mesti dilakukan secara bersama termasuk dalam menanggung kewangan bagi keperluan gerak kerja.

Beliau berkongsi pengalamannya terpaksa menjual barangan runcit bagi menampung keperluan bergerak dalam keadaan jumlah gaji yang tidak besar, berbeza dengan kadar diperolehi wakil-wakil rakyat ketika ini.

“PAS menjadi pemain utama hala tuju politik negara. Tak dak dah parti lain yang boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia selain daripada PAS untuk mencaturkan, untuk menyusun perjalanan politik negara ini.

“Seluruh harapan rakyat Malaysia terletak di bahu PAS. Mari kita sama-sama pastikan penglibatan semua pihak dalam parti untuk menjayakan visi dan misi pilihan raya untuk PRU16 semua ini terletak di bahu kita.

“Yang paling penting adalah sudah sampai tempoh untuk dibuat persempadanan kawasan pilihan raya setiap sepuluh tahun. Jika mereka ada dua pertiga di parlimen, ini masa untuk mereka mengadakan percaturan itu.

“Dan inilah yang perlu diambil berat oleh semua pihak di dalam PAS supaya persempadanan kawasan pilihan raya yang akan datang tidak memberi kelebihan kepada parti lawan.

“Dan bagaimana untuk kita menentukan juga perkara ini berlaku dalam kawalan kita. Mahu tidak mahu kerajaan ini mesti ditumbangkan,” ujarnya penuh semangat.

 – HARAKAHDAILY 22/10/2023

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-