Monday, December 18, 2023

Gesaan DAP supaya pilihan raya PBT diadakan di KL, pemimpin UMNO membisu

agendaily.com
18/12/2023
UMNO kini menjadi rakan politik dengan DAP bersama-sama dalam kerajaan campuran.

DAP secara terbuka membuat gesaan supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur diadakan dengan segera.

Gesaan terbuka tersebut dibuat Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai atas alasan untuk menegakkan demokrasi, usaha selama ini yang diperjuangkan parti tersebut dan seringkali menerima bantahan UMNO sebelum ini.

Kok Wai berkata usaha untuk merealisasikan pilihan raya PBT perlu direalisasikan selari dengan perjuangan parti tersebut sejak sekian lamanya.

“DAP sebagai parti yang berpegang kepada perjuangan dan idealisme sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dan akauntabiliti, adalah penting kita terus berusaha ke arah merealisasikan matlamat melaksanakan demokrasi tempatan.

“Kita tidak perlu meneruskan laksanakan pilihan raya PBT di seluruh negara, tetapi kita boleh bermula di Kuala Lumpur yang amat memerlukan demokrasi dalam proses pendemokrasian sistem pentadbiran ibu negara kita,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Kok Wai berucap semasakonvensyen DAP Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur pada Ahad.

Ahli Parlimen Cheras itu juga, memuji keputusan pentadbiran semasa memindahkan Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, sama ada Kuala Lumpur berada di bawah kawalan langsung perdana menteri atau menteri Dr Zaliha Mustafa, undi pihak ketiga mesti dikembalikan.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT pada 1963 dan berdepan penggantungan pada tahun berikutnya.

Penggantungan itu, yang sepatutnya bersifat sementara, namun dikekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis.

Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS sebelum ini berjanji untuk mengembalikan semula pilihan raya PBT semasa pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Namun manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan tidak berjanji untuk kembalikan pilihan raya PBT tetapi menyatakan bahawa mereka akan “mengukuhkan demokrasi tempatan” dan menjadikan majlis tempatan lebih bertanggungjawab kepada rakyat setempat.

Ia juga berjanji untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mencerminkan aspirasi ini.

Namun begitu, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menolak permintaan untuk mengembalikan pilihan raya PBT, dengan alasan bahawa pilihan raya sedemikian mungkin menimbulkan perbalahan kaum.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-