Wednesday, February 28, 2024

Ada pro dan kontra akibat kejatuhan ringgit - pegawai Anwar

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Feb 28, 2024 8:00 AM
Di sebalik kekurangan, kejatuhan nilai ringgit memberi kelebihan daripada sisi industri eksport dan pelancongan, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin.

Katanya, walaupun, negara perlu membayar lebih untuk membawa masuk barang-barang import, keadaan sebaliknya dalam industri eksport.

"Katakan, kita menggunakan dolar Amerika Syarikat (USD) untuk eksport barang, apabila kita tukar USD kepada ringgit Malaysia (RM) sudah tentu nilai pertukaran akan memberi keuntungan.

"Sebab itu, seperti kata perdana menteri sebelum ini bahawa syarikat pengeksport sangat senang dan ringgit itu agak terkawal," katanya kepada Malaysiakini.
Azman Abidin
Selain itu, Azman juga menjangkakan nilai ringgit yang rendah akan melonjakkan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

"Kita akan ada kelebihan dalam sektor pelancongan kerana nilai yang lemah.

“Maka, pelancong akan jadikan Malaysia sebagai destinasi melancong kerana nilai pertukaran mata wang akan memberi kelebihan kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak bermakna kerajaan tidak risau dengan nilai semasa ringgit.

"Macam mana pun kerajaan akan memantau kejatuhan nilai ringgit. Kita lihat di Amerika, terutamanya negara itu masih lagi bimbang inflasi di negara itu.

"Kita jangkakan bahawa pertengahan kedua tahun ini nilai mata wang negara akan pulih," katanya.
Bulan ini, harga ringgit berbanding mata wang Amerika Syarikat mencatat kemerosotan paling teruk sejak kegawatan ekonomi 1998 ke tahap RM4.80 untuk satu dolar.

Sementara itu, Azman juga menegaskan penjelasan kerajaan bahawa kejatuhan ringgit hari ini tidak sama dengan krisis ekonomi 1998.

Katanya, ketika itu, eksport dan bursa saham turut jatuh, orang hilang kerja dan ekonomi negara hampir lumpuh.

"Tapi kali ini kelemahan ringgit ini adalah kerana faktor luaran.

Kita punya eksport masih kuat, kadar pengangguran semakin pulih dan inflasi makin baik dan pelaburan negara mencatat RM329.5 bilion pada 2023, adalah tertinggi dalam sejarah pelaburan Malaysia.

"Sudah tentu kerajaan sedang memantau kejatuhan nilai ringgit. Tapi, itu tidak menjadi indikator bahawa negara sedang mengalami krisis kewangan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini meminta supaya isu kejatuhan nilai ringgit ketika tidak dijadikan “sepak terajang politik”.

Jelas Anwar, kerajaan pimpinannya sedang berusaha memastikan nilai ringgit kembali melonjak.

Katanya, pada 1998, selain kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran adalah tinggi, selain tiada pelaburan asing masuk dalam negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-