Monday, March 25, 2024

Saifuddin: Impian kami mahu Anwar jadi PM penggal kedua

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 25, 2024 8:30 AM
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berharap Anwar Ibrahim akan berkhidmat sebagai perdana menteri untuk penggal kedua.

"Sekarang dalam penggal pertama, insya-Allah, sekarang dah ada kejelasan, untuk memasuki penggal kedua. Itulah impian kita," katanya dalam episod Keluar Sekejap yang bersiaran semalam.

Mengulas mengenai kesihatan Anwar, dia berkata selain kecederaan bahu dan belakang, perdana menteri itu dalam keadaan "tip-top".

“Dia lebih sihat daripada saya,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 pada Nov 2022 selepas berjaya menyatukan kerajaan gabungan pasca pilihan raya, dengan bekas seteru tradisi BN sebagai rakan kongsi utama.

Bagaimanapun, perjalanan presiden PKR itu menerajui Putrajaya tidaklah begitu lancar.

Pengkritik berkali-kali membidas bahawa walaupun diketuai oleh seorang reformis, pelaksanaan reformasi berjalan dengan perlahan.

Terdapat juga kritikan terhadap langkah regresif oleh kerajaan, seperti dalam isu pindaan kewarganegaraan.

Kerjasama Pakatan Harapan dengan BN dan percubaan mereka untuk memenangi undi konservatif juga mempunyai keputusan yang berbeza pada pilihan raya, termasuk kerajaan negeri Selangor kehilangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri tahun lepas.

Pengacara Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin berkata realiti di lapangan ialah majoriti pengundi Melayu tidak menyebelahi gabungan Madani.

Saifuddin, dalam jawapannya, berkata sentimen Melayu selalunya "emotif", dengan orang tidak berminat untuk mendengar fakta dan angka sebaliknya, "cerita".

"Jadi ia adalah satu cabaran bagaimana kami mahu menyampaikan mesej (kami)," katanya.

Ditanya sama ada kerjasama PH dengan BN akan diteruskan pada pilihan raya umum akan datang, Saifuddin berkata bagi PKR, keputusan masih belum dibuat.

Sementara itu, Saifuddin turut menolak dakwaan Khairy bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah beban terhadap PH.

Dia berkata walaupun Umno dan DAP dilihat sebagai rakan kongsi yang tidak sehaluan bagi sesetengah pihak, mereka adalah "rakan kongsi dalam perjuangan" dalam konteks kerajaan campuran sekarang.

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil untuk menyorot kesalahan masing-masing.

Dia menambah bahawa Anwar telah mengajar PKR untuk setia kepada rakan mereka melalui tempoh sukar, dan menerima kepelbagaian pendapat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-