Thursday, March 28, 2024

Saya dan Rafizi tiada isu peribadi, kata Puad

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 28, 2024 5:04 PM
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi mendakwa kritikannya terhadap sistem Pangkalan Data Utama (Padu) bukan bersifat peribadi seperti didakwa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Malah katanya, dia tidak mempunyai masalah peribadi dengan timbalan presiden PKR itu.

"Rafizi dakwa kritikan saya terhadap Padu bersifat peribadi. Menurutnya saya tetap tidak akan berpuas hati walaupun Malaysia menjadi negara kaya.

"Sedangkan itulah sikap dia masa Najib (Razak) jadi PM. Semua tidak betul. Najib mahu Malaysia jadi negara berpendapatan tinggi. Dia pula kerja menghasut.

"Sekarang dia tahu ECRL itu bagus. HSR, Pan Borneo, GST, Tun Razak Exchange, RAPID dan BRIM bawa manfaat kepada rakyat dan negara," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam Rafizi berkata, kritikan beberapa ahli politik, termasuk Mohd Puad berhubung Padu hanyalah bersifat peribadi.

Rafizi berkata kritikan tersebut langsung tidak menjejaskan pelaksanakan sistem itu sebaik sahaja tempoh proses pendaftaran serta kemas kininya berakhir pada 31 Mac ini.

“Yang bising ini Puad Zarkashi saja. Puad ini kalau Malaysia kaya raya pun dia masih lagi tak bersetuju dengan saya kerana dulu saya bawa isu 1MDB semasa dia menjadi Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan dia kalah pilihan raya.

“Jadi ia (bersifat) peribadi. Kalau tengok ada tiga, empat tokoh politik yang bising itu kerana (isu) peribadi tapi itu tidak menghalang (pelaksanaan Padu),’ katanya kepada pemberita selepas majlis prapeluncuran Acara Perdana KL20 di Parlimen.

Mengulas lanjut Mohd Puad membalas kritikan Rafizi dengan mempersoalkan kejayaan yang telah dicapai melalui formula pemimpin PKR itu.

"Tetapi apa kejayaan formula beliau yang boleh dibanggakan sejak jadi Menteri. Sarawak dan Sabah pun tolak Padu.

"Saya tidak ada isu peribadi dengan Rafizi. Saya hanya tunggu formula beliau menjadikan Malaysia kaya raya. Saya tidak menghasut tetapi mengkritik," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-